Rebus Tak Empuk

Maksud : Pendirian yang tetap dan tidak berubah. Ayat contoh : Penceramah politik itu berasa kecewa kerana banyak penduduk kawasan itu rebus tak empuk dan menolak fahaman politik yang dibawanya.

Redup Atau Panas Keras

Maksud : Hidup atau mati, untung atau rugi, beradu nasib sahaja. Ayat contoh : Kimi sudah tidak peduli redup atau panas keras kerana keputusannya untuk meletak jawatan sebagai pegawai tinggi kerajaan dan bertanding dalam pilihan raya sudah muktamad.

Rendah Gunung, Tinggi Harapan

Maksud : Untuk menyatakan harapan yang sangat besar. Ayat contoh : “Rendah gunung, tinggi harapan hamba untuk menjemput datuk sekalian menjamu selera di teratak hamba di pinggir kota sana,” kata Tok Penghulu.

Rentak Sedegam, Langkah Sepijak

Maksud : Setuju; semuafakat. Ayat contoh : Dengan rentak sedegam, langkah sepijak, akhirnya penduduk-penduduk Kampung Pusu Empat berjaya menjadikan kampung mereka Kampung Contoh bagi peringkat negeri.

Retak Kayu Boleh Disimpan, Retak Piring Susah Hilangnya

Maksud : Perselisihan kecil boleh didamaikan, perselisihan besar sukar hilangnya. Ayat contoh : Perbalahan antara negara-negara Arab dengan Israel yang sudah berdekad-dekad lamanya itu memerlukan banyak masa dan pengorbanan yang tinggi untuk didamaikan kerana retak kayu boleh disimpan, retak piring susah hilangnya.

Retak Menanti Belah

Maksud : Perselisihan yang kecil akan menjadi besar pada bila-bila masa sahaja. Ayat contoh : Pertengkaran antara Boy dengan Girl itu umpama retak menanti belah kepada persahabatan mereka.

Rezeki Helang Tak Akan Dapat Dimakan Oleh Musang

Maksud : Keuntungan seseorang tidak boleh direbut oleh orang lain. Ayat contoh : Kalau sudah ditakdirkan Shihan yang mendapat tender membina jalan ke kampung itu tentulah dia yang akan memperolehnya, bukan orang lain kerana rezeki helang tak akan dapat dimakan oleh musang.

Rezeki Meninggi

Maksud : Pencarian yang sukar. Ayat contoh : Disebabkan rezeki meninggi di negara mereka, banyak tenaga buruh asing berhijrah ke Malaysia untuk mencari kerja bagi meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga mereka.

Rezeki Merendah

Maksud : Segala yang dikerjakan mendatangkan untung. Ayat contoh : Kalau sudah rezeki merendah, apa-apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang itu akan menghasilkan pendapatan untuknya.