Silang Berpangkal, Kerakap Berjumpa Junjung

Maksud : Setiap pekerjaan mesti ada ketuanya supaya selamat dan lancar. Ayat Contoh : Walaupun banyak pekerja yang mahir, namun sekiranya tiada ketua untuk mengawasi mereka tentu kerja yang dilakukan itu akan kelam-kabut jadinya. Oleh itu, perlulah silang berpangkal, kerakap berjumpa junjung.

Silang Berpangkal Kerja Berjunjung

Maksud : Setiap pekerjaan mesti ada kepala atau ketuanya supaya selamat. Ayat Contoh : Huzaifah dilantik untuk mengetuai pemuda-pemuda kampung yang akan mengendalikan acara menyambut rombongan menteri yang akan melawat kampung mereka pada bulan hadapan. Pelantikan dibuat supaya kerja yang akan dilakukan sempurna kerana silang berpangkal, kerja berjunjung.

Silih Berganti Bagai Ombak Di Tepi Pantai

Maksud : Keadaan hidup yang tidak tetap (sekali susah sekali senang). Ayat Contoh : Kehidupan Rosli dan keluarganya tidak menentu kerana dia tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Apabila ada kerja dan mempunyai pendapatan, kehidupan mereka agak senang tetapi setelah tiada kerja, kehidupan mereka melarat, silih berganti bagai ombak di tepi pantai.

Singkap Daun, Ambil Isi

Maksud : Berkata-kata dengan terus-terang (tidak berbelit-belit). Ayat Contoh : “Kemukakan hajat kamu dengan cara singkap daun, ambil isi agar kami mudah untuk memahaminya,” kata Mak Rozy kepada jirannya.

Singkat Diulas, Panjang Dikerat

Maksud : Sesuatu yang kurang hendaklah ditambah dan yang lebih hendaklah dikurangi. Ayat Contoh : “Pak cik, saya masih baru dalam pekerjaan ini. Jadi, kalau singkat diulas, panjang dikerat,” kata Leman.

Singkat Tidak Terulas, Panjang Tidak Terkerat

Maksud : Tiap-tiap orang akan mati apabila telah sampai ajalnya dan kalau belum ajal berpantang mati. Ayat Contoh : Ajal maut sudah ditentukan oleh Tuhan sejak azali lagi. Jika sudah sampai masanya tidak mungkin dapat ditangguh walaupun sesaat, singkat tidak terulas, panjang tidak terkerat.

Siput Memuji Buntut

Maksud : Sifat suka memuji diri sendiri. Ayat Contoh : Sikap Azwan yang seperti siput memuji buntut dan merendahkan kebolehan rakan-rakannya menyebabkan dia dibenci oleh rakan-rakannya.

Si Rabun Memimpin Si Buta

Maksud : Diri sendiri belum terurus, hendak menguruskan orang lain. Ayat Contoh : “Awak belum layak untuk menjadi kaunselor kepada pasangan yang mengalami masalah kerana rumah tangga awak sendiri porak-peranda. Nanti jadi seperti si rabun memimpin si buta,” kata Encik Azwan kepada Aznil.