Telah Ke Tengah Dimakan Api

Maksud : Perselisihan yang hebat dan sukar didamaikan lagi. Ayat Contoh : Bibit-bibit perpecahan di kalangan orang Melayu hendaklah dihapuskan dengan segera kerana kalau telah ke tengah dimakan api bangsa Melayu kita akan hancur.

Telah Lulus Maka Diselam

Maksud : Setelah pekerjaan selesai atau terlepas baru teringat akan cara yang baik untuk mengerjakannya. Ayat Contoh : Setelah jawatan wakil rakyat yang disandangnya terlepas ke tangan orang lain barulah Encik Saiful mahu mendekati rakyat serta menyelesaikan masalah mereka tetapi tiada gunanya lagi kerana telah lulus maka diselam.

Telah Menggoncang Girik

Maksud : Terlalu tua. Ayat Contoh : Bendahara Paduka Tuan yang telah menggoncang girik itu telah dilantik oleh Sultan Mahmud bagi menggantikan Tun Mutahir yang telah dihukum bunuh.

Telah Penuh Bagai Bersukat

Maksud : Telah habis tahap kesabaran. Ayat Contoh : Kesabaran guru-guru di sekolah itu telah penuh bagai bersukat akan gelagat pelajar yang biadab dan sengaja melakukan kesalahan disiplin seperti merokok di dalam kelas.

Telinga Bagai Telinga Rawah

Maksud : Tidak berasa malu apabila mendengar sindiran yang tajam. Ayat Contoh : Bella dikatakan telinga bagai telinga rawah kerana tidak pernah berasa malu terhadap sindiran tajam jiran-jirannya. Dia masih dengan gelagatnya yang suka keluar malam.