Tempayan Yang Penuh Airnya Itu Tidak Berkocak Airnya

Maksud : Orang yang berilmu tidak suka bermegah-megah diri. Ayat Contoh : Walaupun Rafizi seorang yang bijak dan banyak pengetahuannya dalam pelbagai bidang tetapi dia tidak suka bermegah-megah dengan kelebihan yang ada padanya itu, tempayan yang penuh airnya itu tidak berkocak airnya.

Tenang-Tenang Menghanyutkan

Maksud : Diam-diam tetapi berbahaya. Ayat Contoh : Shaari kelihatan pendiam tetapi sebenarnya dialah yang menjadi perancang dan pemimpin dalam kumpulan samseng yang sering menimbulkan kekacauan di sini, tenang-tenang menghanyutkan.

Tengah Makan Putus Suap

Maksud : Baru hendak merasai senang, tiba-tiba datang kesusahan. Ayat Contoh : Pak Khairil baru sahaja menerima wang pampasan tanahnya sebanyak tiga puluh ribu ringgit, tetapi malangnya wang itu tidak dapat digunakan kerana terpaksa membiayai kos rawatan anaknya yang disahkan menghidap kanser tulang, tengah makan putus suap.

Tentang Lubuk Lepas Tuba, Tentang Ikan Akan Mati

Maksud : Menyampaikan kehendak biarlah tepat pada tempat dan waktunya. Ayat Contoh : Setiap hujung bulan, Kak Nur akan mengutip wang daripada orang yang membeli kain dengannya kerana ketika itu gaji baharu sahaja diterima, tentang lubuk lepas tuba, tentang ikan akan mati.

Tentang Mata Dengan Mata

Maksud : Berhadapan antara satu sama lain. Ayat Contoh : Apabila Raja Suran dari Benua Keling dan Raja Chulan dari Siam tentang mata dengan mata, maka terjadilah peperangan yang sengit dan akhirnya Raja Chulan dapat dibunuh serta negerinya dapat ditawan.

Tepuk Berbalas Alang Berjawab

Maksud : Jahat dibalas jahat, baik dibalas baik. Ayat Contoh : Hamba ke sini untuk berniaga tetapi jika tuan hamba mahukan permusuhan, maka bermusuhlah kita kerana tepuk berbalas alang berjawab.

Tepuk Dada Tanya Selera

Maksud : Berfikir dahulu sebelum membuat keputusan. Ayat Contoh : “Jangan membuat keputusan untuk melepaskan jawatan itu kerana tepuk dada tanya selera,” kata ibu kepada kakak.

Tepuk Sebelah Tangan Tak Akan Berbunyi

Maksud : Cinta dan kasih tidak dapat diperoleh daripada sebelah pihak. Ayat Contoh : “Hubungan cinta ini tidak akan terjadi sekiranya kamu tidak melayaninya kerana tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi,” kata Nur kepada Azam.

Tepung Tiada Berberas

Maksud : Orang yang banyak cakap tetapi tiada hasilnya. Ayat Contoh : Saya tiada masa untuk mendengar omong kosong Taib yang berlagak sebagai kontraktor besar tetapi pagi petang melepak di kedai kopi. Dia seperti tepung tiada berberas.