Ular Bercampur Dengan Belut, Tak Akan Hilang Bisanya

Maksudnya : Penjahat jika bergaul dengan orang baik tidak akan berubah tabiatnya/ Contoh Ayat : Walaupun Abdullah Bin Ubai memeluk Islam tetapi dia sentiasa bercita-cita untuk menghancurkan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW kerana ular bercampur dengan belut, tak akan hilang bisanya.

Ular Berlingkar Di Gulungan Tikar

Maksud : Orang jahat yang menyamar diri dalam kumpulan orang baik-baik. Contoh Ayat : Pateh Kerma Wijaya yang dilantik sebagai salah seorang menteri Melaka itu sebenarnya ular berlingkar di gulungan tikar kerana dia merupakan wakil Betara Majapahit yang bercita-cita untuk meruntuhkan kerajaan Melaka.

Ular Bukan Ikan Pun Bukan

Maksud : Seseorang yang payah hendaklah ditentukan sama ada baik atau jahat. Ayat Contoh : Rubiah meminta ketua kampung supaya sentiasa mengawasi orang-orang luar yang datang berniaga di kampung mereka kerana ular bukan ikan pun bukan.

Ular Kepala Dua

Maksud : Orang munafik atau pengkhianat. Ayat Contoh : Muhiddin menasihati Hadi agar menjauhi lelaki yang bersikap seperti ular kepada dua itu jika tidak mahu dirinya dikhianati.

Ulat Dalam Batu Pun Boleh Hidup

Maksud : Orang yang rajin berusaha tidak akan mati kelaparan walaupun di tempat yang sukar. Ayat Contoh : Usah takut untuk meneroka sesuatu kawasan baru kerana usaha yang tanpa mengenal jemu akan mendatangkan rezeki yang melimpah, ulat dalam batu pun boleh hidup.

Ulat Lupakan Daun

Maksud : Lupa akan budi baik orang. Ayat Contoh : Hasbi menanggung segala perbelanjaan suaminya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tetapi setelah berjaya dan menjawat jawatan tinggi, suaminya itu telah menjadi ulat lupakan daun kerana berkahwin lain.

Umpama Ayakan Dawai

Maksud : Membuat sesuatu dengan tidak cermat. Ayat Contoh : Kerja-kerja yang dibuat oleh Zafrul umpama ayakan dawai kerana tidak cermat dan banyak berlaku kesilapan.

Umpama Belanda Kesiangan

Maksud : Orang yang bertingkah laku seperti orang putih. Ayat Contoh : Sejak bekerja dengan orang putih dan berkenalan dengan gadis orang putih itu, perangai Zafrul sudah berubah umpama Belanda kesiangan.

Umpama Bilah Atau Lidi Yang Terselit Pada Dinding Dapat Juga Diambil Akan Pencungkil Gigi Atau Pencungkil Telinga

Maksud : Seseorang yang bodoh atau bebal, suatu waktu ada juga gunanya. Ayat Contoh : Ahmad seorang yang dungu tetapi dialah yang diharapkan oleh orang-orang kampung untuk menurunkan buah kelapa mereka kerana dia sangat pandai memanjat. Ahmad umpama bilah atau lidi yang terselit pada dinding dapat juga diambil akan pencungkil gigi atau pencungkil telinga.