Pukat Kulabuh Ikan Tak Jadi

Maksud : Orang yang tidak mendapat keuntungan. Ayat contoh : Zamri mengeluh apabila tanaman yang diusahakannya itu tidak mendatangkan hasil malah merugikan wang, masa, dan tenaga sahaja. Dia seperti pukat kulabuh ikan tak jadi.

Pukul Anak Sindir Menantu

Maksud : Lain orang yang dimarahi, lain pula yang ditujukan kata-katanya. Ayat contoh : Rashid berasa hati apabila isterinya memarahi anaknya kerana tidak bersembahyang walaupun anaknya masih kecil. Isterinya seolah-olah pukul anak sindir menantu.

Pulang Ke Kandang

Maksud : Pulang ke tempat asal. Ayat contoh : Setelah puas merantau ke pelosok dunia, akhirnya Mazlan pulang ke kandang untuk hidup bersama-sama keluarganya.

Pulau Sudah Lenyap, Daratan Telah Tenggelam

Maksud: Gagal atau sesuatu yang tidak dapat diharapkan apa-apa lagi. Ayat contoh: Setelah gagal untuk menjatuhkan pengerusi pertubuhan itu, Hadi telah kehilangan semua jawatan termasuk jawatan yang disandangknya. Baginya pulau sudah lenyap, daratan telah tenggelam dan masa depannya dalam pertubuhan itu sudah tiada lagi.

Pungguk Rindukan Bulan

Maksud : Kerinduan yang mendalam tetapi tidak tercapai sampai bila-bila. Ayat contoh : “Usahlah engkau seperti pungguk rindukan bulan dengan memuja dan merindui Aiman lagi kerana dia telah pun berkahwin dengan perempuan lain,” kata ibu kepada Alia.

Punggung Dipukul, Gigi Habis Tanggal

Maksud : Lain yang disindir, lain yang terasa. Ayat contoh : Beberapa orang ahli jawatankuasa kemajuan kampung menyindir penghulu yang makan gaji buta tetapi imam pula yang terasa lalu meletakkan jawatan, punggung dipukul, gigi habis tanggal.

Punggur Rebah Belatuk Menumpang Mati

Maksud : Jika orang yang menjadi pelindung atau penaung jatuh, anak buahnya akan merasai akibatnya. Ayat contoh : Apabila raja negeri itu dibunuh oleh musuh, rakyat di bawah pemerintahannya mula terancam oleh kekejaman musuh itu kerana punggur rebah belatuk menumpang mati.

Puntung Berasap

Maksud : Sesuatu yang mustahil. Ayat contoh : Usaha Mansur melatih kucing untuk memetik kelapa merupakan puntung berasap dan menjadi bahan ketawa kawan-kawannya.

Pusat Jala Pumpunan Ikan

Maksud : Tempat berkumpul atau menjadi pusat bagi pelbagai hal atau urusan seperti pusat pentadbiran atau pemerintahannya. Ayat contoh : Sejak dijadikan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur menjadi pusat jala pumpunan ikan yang terkenal di seluruh dunia.