Tak Kena Tepuk Dengan Tarinya

Maksud : Lain yang ditanya lain yang dijawab. Ayat Contoh : Tok Ramli yang pekak itu ditanya tentang jenis padi yang ditanam di sawahnya tetapi dia memberitahu bahawa tanah sawahnya itu dibelinya sejak tiga puluh tahun yang lalu, tak kena tepuk dengan tarinya.

Tak Panas Punggung

Maksud : Sebentar sahaja. Ayat Contoh : Johari selalunya tak panas punggung jika ke rumah mentuanya kerana dia tidak berasa selesa di rumah yang banyak kanak-kanak itu.

Tak Pernah Masuk Gelanggang Bergong

Maksud : Tercengang-cengang atau kehairanan. Ayat Contoh : Zamarul seperti tak pernah masuk gelanggang bergong apabila tiba di majlis perkahwinan yang penuh adat istiadat itu kerana dia jarang bergaul dengan orang ramai.

Tak Sungguh Getah Daun Yang Sebenarnya Getah Batang

Maksud : Sejahat-jahat saudara kandung, lebih baik daripada kerabat yang lain. Ayat Contoh : Ketika Mansur dalam kesusahan, adiknya yang dibenci itulah yang datang menolongnya. Saudara-maranya yang lain semuanya menjauhkan diri, tak sungguh getah daun yang sebenarnya getah batang.

Tak Tahu Akan Siput Empuk

Maksud : Orang yang terlalu bodoh dan tidak tahu akan apa-apa. Ayat Contoh : Hadi menolak tawaran untuk memiliki saham syarikat tempat dia bekerja kerana tidak tahu akan keuntungan melabur dalam syarikat yang kukuh itu. Dia tak tahu akan siput empuk.

Tak Tahu Menganyam, Pandan Disalahkan

Maksud : Tidak mahu mengakui kebodohan diri sendiri. Ayat Contoh : Zalilah mengatakan bahawa komputer yang digunakannya telah dimasuki virus untuk melindungi kelemahannya yang tidak pandai menggunakan komputer. Sikapnya itu seperti tak tahu menganyam, pandan disalahkan.

Tak Tentu Hilir Mudiknya

Maksud : Belum ada keputusan, maksudnya belum jelas. Ayat Contoh : Mak Cik Maznah mendaftar untuk ke Makkah bagi tahun ini tetapi keadaannya tak tentu hilir mudiknya kerana belum menerima surat pengesahan daripada Lembaga Tabung Haji.