Tiada Tertikam Tuah Oleh Berani

Maksud : Orang yang bertuah tidak dapat dikalahkan dengan berani. Ayat Contoh : Jenal berjaya mengahwini anak Tuk Demang dan bakal mewarisi jawatan mentuanya itu sebagai laksamana menyebabkan semua pahlawan yang gagah berani tertewas kepadanya. Itulah yang dikatakan, tiada tertikam tuah oleh berani.

Tidak Ada Kusut Yang Tak Selesai

Maksud : Tiada pertikaian yang tidak dapat diselesaikan. Ayat Contoh : Akhirnya peperangan yang berlaku di Indo-China akibat kemaraan Komunis pada era 1970-an dapat diselesaikan dan kedamaian mula dirasai di rantau itu kerana tidak ada kusut yang tak selesai.

Tidak Ada Orang Menggaruk Keluar Badan

Maksud : Biasanya seseorang akan berpihak kepada keluarga jika berlaku perselisihan. Ayat Contoh : Radzi telah didapati memulakan pergaduhan dengan Muhyiddin tetapi ibunya tetap mengatakan bahawa anaknya itu tidak bersalah, tidak ada orang menggaruk keluar badan.

Tidak Berat Diampu

Maksud : Tidak perlu tergesa-gesa terhadap kerja yang tidak penting. Ayat Contoh : Halimah dinasihati oleh ibunya agar melupakan soal percintaan dahulu kerana pada waktu ini pelajarannya lebih penting, tidak berat diampu.

Tidak Berengsot Dari Bibir

Maksud : Tidak habis-habis disebut. Ayat Contoh: Meskipun dia berada jauh di luar negara kerana menyertai misi keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, namun anak-anak dan isterinya tidak berengsot dari bibir Yunus.