Tinggi Disusupi, Rendah Dilangkahi

Maksud : Segala halangan diatasi sehabis upaya. Ayat Contoh : Usaha pihak berkuasa untuk menghapuskan pengedaran VCD dan pita video lucah sentiasa menemui halangan tetapi tinggi disusupi, rendah dilangkahi demi menyelamatkan generasi muda mengalami keruntuhan moral.

Tinggi Duduk Daripada Cangkung

Maksud : Besar belanja daripada hasil pencarian. Contoh Ayat : Akibat terlalu menurut kehendak isterinya yang suka hidup mewah, Hadi tinggi duduk daripada cangkung dan terpaksa berhutang di sana sini.

Tinggi Kerana Ada Yang Rendah

Maksud : Tiap-tiap sesuatu mesti ada yang berlawanan supaya dapat dibezakan. Ayat Contoh : Golongan kaya akan sentiasa dihormati selagi ada orang miskin yang sentiasa bekerja untuk mereka. Mereka tinggi kerana ada yang rendah.

Tinggi Lawak-Lawak

Maksud : Orang yang hanya mahu berkenalan dengan orang besar. Contoh Ayat : Kalau bertanding dalam pilihan raya usahlah menjadi tinggi lawak-lawak kerana undi rakyat bawahanlah yang akan menentukan kemenangan.

Tinggi Terbawa Oleh Ruasnya

Maksud : Orang yang tubuhnya sahaja besar tetapi masih bodoh. Ayat Contoh : Zahari dikatakan tinggi terbawa oleh ruasnya kerana badanya sahaja yang besar tetapi tidak boleh dibawa berbincnag kerana masih bodoh.

Titah Lalu Sembah Berlaku

Maksud : Jika kita menurut kehendak orang, hendaklah kita pun akan diikutnya pula. Ayat Contoh : Halimah yang suka menolong orang tidak menghadapi masalah untuk meminta pertolongan orang lain sekiranya dia dalam kesusahan kerana titah lalu sembah berlaku.

Titian Air Polongan Asap

Maksud : Orang tengah yang mencari keuntungan. Ayat Contoh : Suatu masa dahulu, kejahilan nelayan tentang harga ikan di pasaran menyebabkan para pemborong bertindak sebagai titian air polongan asap.

Titian Biasa Lapuk, Janji Biasa Mungkir

Maksud : Jangan percaya kepada janji kerana janji biasa dimungkiri. Ayat Contoh : Zaleha serik untuk membeli alat solek daripada juala langsung yang menjanjikan wangnya akan dikembalikan jika alat solek itu tidak berkesan tetapi janji hanya tinggal janji. Bak kata orang, titian biasa lapuk, janji biasa mungkir.

Toman Makan Anak

Maksud : Mencelakan anak sendiri. Ayat Contoh : Tiada sesiapa pun menyangka bahawa lelaki yang kelihatan warak itu sebenarnya toman makan anak kerana sanggup merosakkan anak gadisnya sendiri.