Sebagai Bumi Dengan Langit

Maksud : Sangat jauh bezanya. Ayat Contoh : Mak Cik Milah bercerita tentang kehidupan pada zaman sebelum merdeka dengan masa kini kepada cucu-cucunya. Perbezaannya sebagai bumi dengan langit.

Sebagai Cendawan Dibasuh

Maksud : Pucat lesi. Ayat Contoh : Kanak-kanak yang disahkan menghidap penyakit jantung berlubang itu tidak secergas kanak-kanak yang seusia dengannya dan mukanya sebagai cendawan dibasuh.

Sebagai Di Kayangan

Maksud : Berasa senang di suatu tempat yang indah. Ayat Contoh : Kebanyakan pendatang asing yang datang mencari makan di negara ini enggan kembali ke negara asal mereka kerana merasakan hidup di sini sebagai di kayangan.

Sebagai Di Rumah Induk Bako

Maksud : Berasa aman dan tenteram. Ayat Contoh : Apabila mendapat perlindungan daripada panglima yang gagah itu, Muzaffar dan keluarganya tidak lagi diganggu oleh orang-orang jahat. Mereka berasa selamat sebagai di rumah induk bako.

Sebagai Kapal Patah Kemudi

Maksud : Hilang pedoman. Ayat Contoh : Ada orang Melayu yang telah terpengaruh oleh gaya hidup barat telah memilih untuk hidup sebagai kapal patah kemudi dengan membuang agama yang selama ini mengawal tingkah laku mereka.

Sebagai Kera Mendapat Canggung

Maksud : Merapatkan diri kepada orang yang telah menolongnya. Ayat Contoh : Tukiman sebagai kera mendapat canggung apabila diberi jawatan yang baik di firma milik mentuanya lalu mengambil keputusan untuk tinggal bersama-sama dengan mentuanya yang kaya raya itu.

Sebagai Kunyit Dengan Kapur

Maksud : Mudah dan lekas mesra. Ayat Contoh : Meskipun baru pertama kali berjumpa, kanak-kanak di taman bimbingan kanak-kanak itu sebagai kunyit dengan kapur dan seolah-olah sudah kenal lama.

Sebagai Langau Di Ekor Gajah

Maksud : Selalu mengekor orang yang berkuasa. Ayat Contoh : Khairy dikatakan sebagai langau di ekor gajah kerana suka mengikut Datuk Jalal ke mana-mana sahaja dengan harapan diberikan sedikit habuan.