Pohon Yang Besar Juga Yang Dinaiki Sakat

Maksud : Orang yang kaya juga yang bertambah kekayaannya. Ayat contoh : Para pedagang yang berniaga di Melaka sentiasa memberikan hadiah yang mahal dan berharga kepada raja serta para pembesar menyebabkan pohon yang besar juga yang dinaiki sakat.

Potong Hidung Rosak Muka

Maksud : Orang yang berlaku kurang baik terhadap keluarganya, diri sendiri yang akan mendapat malu. Ayat contoh : Halimah memburuk-burukkan abangnya sendiri dengan pelbagai tuduhan yang mengaibkan, perbuatannya itu samalah dengan potong hidung rosak muka.

Pucuk Dicita Ulam Mendatang

Maksud : Memperoleh sesuatu lebih daripada yang diharapkan. Ayat contoh : Bagai pucuk dicita ulam mendatang apabila Rahimi yang berkenan pada Zainab telah diminta oleh bapa gadis itu supaya masuk meminang.

Pucuk Layu Disiram Hujan

Maksud : Setelah menderita barulah mendapat kesenangan. Ayat contoh : Setelah sekian lama berhabisan harta benda dan membanting tenaga untuk menyara dan menyekolahkan anak-anaknya, Pak Musa dan isterinya seperti pucuk layu disiram hujan setelah anak-anak mereka sudah bekerja.

Puji Tidak Mengenyangkan, Kehinaan Tidak Membunuh

Maksud : Jangan berbesar hati jika dipuji dan jangan berkecil hati jika dibina. Ayat contoh : Pujian orang tidak semestinya ikhlas, kutukan yang menyakitkan itu mungkin juga untuk membina kerana puji tidak mengenyangkan, kehinaan tidak membunuh. Oleh itu, jangan mudah terpengaruh oleh pujian dan memandang negatif pada setiap kutukan.

Pukat Kulabuh Ikan Tak Jadi

Maksud : Orang yang tidak mendapat keuntungan. Ayat contoh : Zamri mengeluh apabila tanaman yang diusahakannya itu tidak mendatangkan hasil malah merugikan wang, masa, dan tenaga sahaja. Dia seperti pukat kulabuh ikan tak jadi.

Pukul Anak Sindir Menantu

Maksud : Lain orang yang dimarahi, lain pula yang ditujukan kata-katanya. Ayat contoh : Rashid berasa hati apabila isterinya memarahi anaknya kerana tidak bersembahyang walaupun anaknya masih kecil. Isterinya seolah-olah pukul anak sindir menantu.

Pulang Ke Kandang

Maksud : Pulang ke tempat asal. Ayat contoh : Setelah puas merantau ke pelosok dunia, akhirnya Mazlan pulang ke kandang untuk hidup bersama-sama keluarganya.