Telah Menggoncang Girik

Maksud : Terlalu tua. Ayat Contoh : Bendahara Paduka Tuan yang telah menggoncang girik itu telah dilantik oleh Sultan Mahmud bagi menggantikan Tun Mutahir yang telah dihukum bunuh.

Telah Penuh Bagai Bersukat

Maksud : Telah habis tahap kesabaran. Ayat Contoh : Kesabaran guru-guru di sekolah itu telah penuh bagai bersukat akan gelagat pelajar yang biadab dan sengaja melakukan kesalahan disiplin seperti merokok di dalam kelas.

Telinga Bagai Telinga Rawah

Maksud : Tidak berasa malu apabila mendengar sindiran yang tajam. Ayat Contoh : Bella dikatakan telinga bagai telinga rawah kerana tidak pernah berasa malu terhadap sindiran tajam jiran-jirannya. Dia masih dengan gelagatnya yang suka keluar malam.

Telunjuk Mencucuk Mata

Maksud : Orang yang diberi kepercayaan membuat khianat kepada kita. Ayat Contoh : Hamid merupakan penyerang utama yang diberi kepercayaan untuk memberikan kemenangan kepada pasukannya dalam perlawanan bola sepak itu tetapi dia telah menerima rasuah dan berusaha untuk menjadikan pasukannya kalah. Dialah telunjuk mencucuk mata.

Telur Di Hujung Tanduk

Maksud : Dalam keadaan bahaya; serba sulit. Ayat Contoh : Penumpang di dalam kereta yang terbabas di tubir gaung itu seperti telur di hujung tanduk kerana gerakan yang sedikit sahaja menyebabkan kereta mereka akan terjunam ke bawah.