Setengah Bagai Bunyi Enggang, Setengah Bagai Bunyi Kuau

Maksud : Pendapat orang yang bermacam-macam. Ayat Contoh : Kalau mengendalikan mesyuarat yang ahlinya terdiri daripada pelbagai golongan, kita perlu banyak bersabar kerana semua orang mahu mengemukakan pendapat masing-masing. Kata orang, setengah bagai bunyi enggang, setengah bagai bunyi kuau.

Setinggi-Tinggi Melanting, Jatuhnya Ke Tanah Juga

Maksud : Pangkat dan martabat yang tinggi tidak akan kekal, kerana pada suatu waktu akan hilang juga. Ayat Contoh : Usahlah terlalu berbangga dan bersikap angkuh akan pangkat dan kedudukan yang disandang kerana semua itu tidak akan kekal untuk selama-lamanya, setinggi-tinggi melanting, jatuhnya ke tanah juga.

Seukur Berbaur, Bertopang Bercerai

Maksud : Jika seia sekata tentu bersatu dan jika berselisih faham tentu bercerai. Ayat Contoh : “Jika ayah tiada lagi nanti, kamu adik-beradik hendaklah sentiasa bermuafakat dan jangan bertelagah dalam apa-apa jua hal agar keluarga kita tetap kukuh kerana seukur berbaur, bertopang bercerai,” pesan Pak Zul kepada anak-anaknya.

Sia-Sia Hutang Tumbuh

Maksud : Jika terlalu boros atau membazir akhirnya hutang akan bertumbuh. Ayat Contoh : Jangan bazirkan wang dengan perkara yang tidak berfaedah kerana sia-sia hutang tumbuh, akhirnya kita sendiri yang kesempitan nanti.

Sia-Sia Negeri Alah

Maksud : Pekerjaan yang dilakukan dengan kurang berhati-hati itu akan mendatangkan bahaya dan kerugian. Ayat Contoh : Pihak polis selalu mengingatkan orang ramai agar memberitahu jiran atau dimaklumkan kepada balai polis terdekat sekiranya ingin meninggalkan rumah agar kejadian pecah rumah dapat dielakkan kerana sia-sia negeri alah.