Titian Biasa Lapuk, Janji Biasa Mungkir

Maksud : Jangan percaya kepada janji kerana janji biasa dimungkiri. Ayat Contoh : Zaleha serik untuk membeli alat solek daripada juala langsung yang menjanjikan wangnya akan dikembalikan jika alat solek itu tidak berkesan tetapi janji hanya tinggal janji. Bak kata orang, titian biasa lapuk, janji biasa mungkir.

Toman Makan Anak

Maksud : Mencelakan anak sendiri. Ayat Contoh : Tiada sesiapa pun menyangka bahawa lelaki yang kelihatan warak itu sebenarnya toman makan anak kerana sanggup merosakkan anak gadisnya sendiri.

Tong Kosong Berbunyi Nyaring

Maksud : Orang bodoh biasanya banyak bercakap. Ayat Contoh : Sebagai seorang guru, Cikgu Fadlina dapat menilai tahap kemampuan murid-muridnya dalam pelajaran melalui percakapan mereka kerana biasanya tong kosong berbunyi nyaring.

Tongkat Membawa Rebah

Maksud : Penyokong sendiri yang mengakibatkan keruntuhan. Ayat Contoh : Pemimpin itu digulingkan oleh rakyatnya apabila tentera elit kesayangannya telah bertindak kejam terhadap rakyat, tongkat membawa rebah.

Tua-Tua Keladi, Makin Tua Makin Menjadi

Maksud : Orang tua yang kemuda-mudaan; orang tua yang banyak pengalaman. Ayat Contoh : Orang tua yang sedang duduk di tangga rumahnya dikatakan tua-tua keladi, makin tua makin menjadi kerana meskipun tua, tetapi dia mempunyai pengetahuan yang luas tentang hal-ehwal semasa serta menjadi tempat rujukan orang ramai.

Tua-Tua Telur Ayam

Maksud : Hanya tua sedikit sahaja Ayat Contoh : “Memanglah awak lebih tua daripada saya tetapi hanya tua-tua telur ayam sebab belum pun mencecah empat puluh tahun,” kata Sara kepada suaminya

Tuah Ayam Boleh Dilihat, Tuah Manusia Siapa Tahu?

Maksud : Tiada sesiapa pun yang dapat menentukan untung nasib seseorang itu. Ayat Contoh : Najib yang hidup merempat itu tiba-tiba menjadi kaya apabila tanahnya yang sekangkang kera itu dibeli dengan harga yang tinggi oleh sebuah syarikat perlombongan kerana disahkan mengandungi emas. Itulah yang dikatakan orang, tuah ayam boleh dilihat, tuah manusia siapa tahu?

Tuah Kerbau Gemuk, Tuah Lumbung Berisi, Tuah Manusia Semuafakat

Maksud : Keunggulan kerbau kerana gemuknya, keunggulan lumbung kerana isinya (kalau berisi padi), keunggulan manusia kerana muafakatnya. Ayat Contoh : Kemajuan yang dicapai oleh negara kita sekarang disebabkan oleh rakyatnya yang bersatu padu dan bermuafakat dalam menjaga keamanan, tuah kerbau gemuk, tuah lumbung berisi, tuah manusia semuafakat.

Tuah Melambung Tinggi, Celaka Menimpa Badan

Maksud : Mendapat kemalangan silih berganti; ditimpa kecelakaan yang besar. Ayat Contoh : Fatimah yang baru sahaja disahkan menghidap barah rahim oleh doktor telah diceraikan oleh suaminya yang mahu berkahwin lagi. Nasib Fatimah seperti tuah melambung tinggi, celaka menimpa badan.