Yang Menanti Padang Tak Berumput, Yang Mendatan Kurus Kedut-Kedut

Maksud : Orang yang lapar meminta pertolongan kepada orang yang melarat Ayat Contoh : Pengemis itu singgah di rumah Pak Taqiuddin untuk meminta makanan tetapi Pak Taqiuddin tidak daapt memberikan apa-apa kerana dia sendiri terpaksa meminta belas ihsan orang lain untuk mendapatkan sesuap nasi, yang menanti padang tak berumput, yang mendatang kurus kedut-kedut.

Yang Pekerjaan Utus Bukan Pekerjaan Kera

Maksud : Orang yang suka mempedulikan pekerjaan orang lain biasanya akan ditimpa bencana kerana perangainya yang tidak baik Ayat Contoh : Saddiq dipecat oleh majikannya kerana suka menggangu tugas orang lain sedangkan kerjanya tidak dipedulikan, yang pekerjaan utus, bukan pekerjaan kera.

Yang Rebah Ditindih

Maksud : Yang sudah miskin bertambah miskin kerana diperas atau ditindas. Contoh Ayat : Pihak yang memberikan pinjaman dengan kadar faedah yang tinggi kerapa pelajar-pelajar miskin hendaklah memikirkan bebanan pelajar-pelajar tersebut untuk membayar balik pinjaman itu. Jangan yang rebah ditindih.

Yang Rendah Jua Yang Terturut Air

Maksud : Orang yang kayalah yang semakin kaya Contoh Ayat : Filem-filem Bollywood sering menggambarkan bahawa di India golongan yang kaya bertambah kaya, manakala yang miskin terus melarat, yang rendah jua yang terturut air.

Yang Secupak Takkan Jadi Segantang

Maksud : Rezeki yang telah ditetapkan sebanyak itu tidak akan bertambah lagi. Ayat Contoh : Kalau sudah ditetapkan rezeki kita sebanyak itu usah dikesalkan lagi. Terima sahajalah kerana yang secupak takkan jadi segantang.

Yang Seorang Memeram Batu, Yang Seorang Memeram Pisang

Maksud : Perbezaan pendirian; seorang dapat menunggu, seorang lagi tidak. Ayat Contoh : Nurul Izzah sanggup menderita bertahun-tahun menjaga suaminya yang terlantar sakit sehingga pulih tetapi apabila dia sakit tidak sampai pun setahun, suaminya sudah beristeri baru, yang seorang memeram batu, yang seorang memeram pisang.

Yang Setitik Dilautkan, Yang Sekepal Digunungkan

Maksud : Harta yang sedikit dikembangkan menjadi bertambah banyak. Ayat Contoh : Fadilah memang pandai berniaga. Dengan permulaan modal hanya RM3000 untuk membuka warung di tepi jalan, kini dia mempunyai satu rangkaian restoren makanan segera hampir di semua bandar besar, yang setitik dilautkan, yang sekepal digunungkan.

Yang Tajam Tumpul, Yang Bisa Tawar

Maksud : Dengan berkat ubat atau doa, sesuatu penyakit dapat disembuhkan; kerana percakapan yang manis atau lemah lembut sesuatu sengketa hilang. Ayat Contoh : Petang itu, Zahid kelihatan marah-marah tetapi hatinya menjadi sejuk apabila isterinya memujuk dengan kata-kata yang manis dan lembut, yang tajam tumpul, yang bisa tawar.