Seperti Ayam Dimakan Tungau

Maksud : Sangat pucat kerana sakit. Ayat Contoh : Zahurul seperti tidak percaya apabila melihat sahabatnya yang pernah menjadi ahli bina badan itu kini seperti ayam dimakan tungau kerana terkena sindrom parkinson.

Seperti Ayam Dara Bertelur

Maksud : Mengerjakan sesuatu pekerjaan dengan bertangguh. Ayat Contoh : Sabariah telah beberapa kali menangguhkan pembinaan rumahnya seperti ayam dara bertelur kerana wang tidak mencukupi untuk membeli bahan binaan.

Seperti Ayam Hendak Bertelur

Maksud : Orang yang berkeadaan resah gelisah atau tidak duduk diam. Ayat Contoh : Jimmy seperti ayam hendak bertelur semasa isterinya dibedah kerana tidak mampu melahirkan anak sulungnya secara normal.

Seperti Ayam Patuk Anaknya

Maksud : Menghukum anak bukan kerana menyeksa tetapi mendidik. Ayat Contoh : Ibu bapa yang merotan anak kerana enggan solat atau berbuat salah tidak boleh dianggap mendera kerana mereka berbuat demikian untuk mendidik, seperti ayam patuk anaknya.

Seperti Ayam Sabung

Maksud : Sangat dimanjakan. Ayat Contoh : Setelah berjaya menyelamatkan bendahara daripada empat orang mengamuk, Hang Tuah lima bersaudara seperti ayam sabung oleh bendahara itu.

Seperti Badak Terentak

Maksud : Orang yang tambun dan hodoh. Ayat Contoh : Budak-budak nakal itu mengetawakan Syihah anak Pak Cik Mat yang gemuk pendek seperti badak terentak itu setiap kali perempuan itu melintas di hadapan mereka.

Seperti Bangau Kasihkan Kerbau

Maksud : Bersahabat kerana ada kepentingan diri sendiri. Ayat Contoh : Johan mendekati Zizan kerana ingin mendapatkan jawatan yang baik di syarikat ayah Zizan. Sikap Musa seperti bangau kasihkan kerbau.

Seperti Bangsi Buluh Perindu

Maksud : Suara yang lemah lembut dan merdu. Ayat Contoh : Suara biduan yang sedang mengalunkan lagu di pentas itu memukau puluhan ribu penonton dengan suaranya yang seperti bangsi buluh perindu.