Seperti Bunga, Sedap Dipakai Layu Dibuang

Maksud : Wanita yang dikasihi ketika muda tetapi ditinggalkan setelah tua. Ayat Contoh : Perkahwinan bermaksud ikatan dua hati untuk sama-sama sehidup semati, bukan hanya untuk berseronok ketika muda seperti bunga, sedap dipakai layu dibuang.

Seperti Burung Gagak Pulang Ke Benua

Maksud : Walaupun telah ke luar negara namun sifat buruknya tidak berubah. Ayat Contoh : Walaupun sudah banyak negara yang dijelajahi oleh Azfarul namun perangai pemalasnya tetap tidak berubah. Dia seperti burung gagak pulang ke benua.

Seperti Cacing Kepanasan

Maksud : Gelisah kerana sakit, malu, atau susah. Ayat Contoh : Saadiah seperti cacing kepanasan apabila ternampak akan bekas suaminya turut berada di majlis yang dihadirinya itu.

Seperti Cebok Dengan Tempayan

Maksud : Ibu bapa menghimpunkan harta tetapi anak-anak menghabiskannya. Ayat Contoh : Anak-anak Tan Sri Aman itu dianggap seperti cebok dengan tempayan kerana hanya tahu menghabiskan harta yang dikumpulkan oleh bapa mereka.

Seperti Cencaru Makan Petang

Maksud : Mendapat kemenangan pada saat-saat akhir sesuatu pertandingan. Ayat Contoh : Setelah sekian lama berhabisan wang untuk membangunkan perniagaannya, akhirnya Baisudin berjaya dan kini dia bergelar jutawan. Usahanya seperti cencaru makan petang.

Seperti Cicak Makan Kapur

Maksud : Beroleh malu kerana kesalahan sendiri. Ayat Contoh : Baisudin seperti cicak makan kapur apabila dia beria-ia melaporkan keburukan perangai Maimun sedangkan ketuanya sudah kenal benar akan hati budi gadis yang mulia itu.