Seperti Lintah Menghisap Darah

Maksud : Mengenakan faedah pinjaman yang terlalu mahal; menipu dengan cara yang lemah lembut. Ayat Contoh : Ceti-ceti asing itu meminjamkan wang yang banyak kepada petani yang sangat memerlukan wang. Setelah tidak mampu membayar hutang dan bunganya yang telah berganda, tanah sawah milik petani itu dirampas. Tindakan ceti itu seperti lintah menghisap darah.

Seperti Lipas Kudung

Maksud : Selalu bergerak dengan cepat atau pantas bekerja. Ayat Contoh : Afiqah dapat menyiapkan semua tugas yang diserahkan tepat pada masanya kerana dia bekerja seperti lipas kudung.

Seperti Mayat Ditegakkan

Maksud : Kurus kering serta sangat pucat. Ayat Contoh : Pak Hasyim yang terlantar sakit kelihatan amat tidak bermaya dengan badannya kurus kering serta wajahnya pucat lesi. Dia seperti mayat ditegakkan.

Seperti Melukut Di Tepi Gantang

Maksud : Seseorang yang dipandang remeh sebab tiada berkuasa apa-apa. Ayat Contoh : Pada masa dahulu, wanita seperti melukut di tepi gantang dalam lapangan politik kerana mereka dianggap tidak mampu menjadi pemimpin.

Seperti Menangkap Ular Di Ekornya

Maksud : Cuba mengalahkan musuh yang cerdik dengan cara yang salah akhirnya kitalah yang binasa. Ayat Contoh : Adnan yang mahu mengalahkan musuhnya dengan menggunakan kekerasan, seperti menangkap ular di ekornya kerana musuhnya itu sangat pandai bermain senjata.

Seperti Menanti Orang Dahulu, Mengejar Orang Kemudian

Maksud : Perbuatan yang sia-sia. Ayat Contoh : Ketika muzik rock sedang memuncak, Awiey menerbitkan lagu-lagu berentak irama asli, ketika nasyid digemari ramai dia menerbitkan lagu rock pula. Dia seperti menanti orang dahulu, mengejar orang kemudian menyebabkan lagu-lagu terbitannya tidak pernah mendapat sambutan di pasaran.

Seperti Mendapat Gagak Putih

Maksud : Perolehan yang bertuah dan jarang diperoleh orang. Ayat Contoh : Hanum seperti mendapat gagak putih apabila diisytiharkan sebagai pengunjung ke sejuta di pasar raya yang baru dibuka itu dan dihadiahkan sebuah kereta.