Seperti Orang Kecabaian

Maksud : Tidak tentu hala atau tidak duduk diam kerana gelisah. Ayat Contoh : Setelah mendapat tahu bahawa anaknya yang belajar di London mendapat kemalangan, Misran dan isterinya bergelisah seperti orang kecabaian.

Seperti Pacat Kenyang

Maksud : Orang yang setelah kenyang makan di rumah orang pergi dengan tidak menunggu-nunggu dahulu. Ayat Contoh : Sekiranya menghadiri majlis di rumah orang, jangan seperti pacat kenyang. Selepas makan, kita hendaklah beramah mesra dengan keluarga itu untuk beberapa ketika, sebelum meminta izin untuk pulang.

Seperti Padi Hampa, Makin Lama Makin Mencongak

Maksud : Orang sombong yang tidak berilmu semakin lama semakin tinggi cakapnya. Ayat Contoh : “Misran itu, sudahlah pendidikannya sekerat jalan, bercakap besar dan sombongnya berlebih-lebihan seperti padi hampa, makin lama makin mencongak,” rungut Mak Minah sendirian.

Seperti Paruh Dengan Kepak

Maksud : Dua golongan yang berlainan tetapi bekerjasama. Ayat Contoh : Tentera dan kakitangan awam menjalankan tugas yang berbeza tetapi sama-sama berjasa kepada negara seperti paruh dengan kepak.

Seperti Permata Baik Tak Kena Ikatannya

Maksud : Perempuan terpelajar bersuamikan lelaki yang rendah budi pekertinya. Ayat Contoh : Puan Hasnah masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa anaknya, Maria yang berpendidikan tinggi serta berpegang agamanya boleh mendapat suami yang pemabuk dan kaki judi, seperti permata baik tak kena ikatannya.

Seperti Permata Salah Serudi

Maksud : Orang bangsawan yang tidak berilmu dan tidak tahu bersopan santun. Ayat Contoh : “Saya tidak peduli sama ada awak anak raja atau cucu menteri. Kalau berkelakuan seperti permata salah serudi, jangan harap awak akan dihormati,” jerkah Pak Ahmad selaku Penghulu di Kampung Pinang Dua Batang.