Suarang Diagih Sekutu Dibelah

Maksud : Jika suami isteri bersetuju untuk bercerai, harta pencarian bersama dibahagi dua dan harta pembawaan dipulangkan kepada kaum masing-masing. Ayat Contoh : Perceraian antara suami isteri tidak akan berlanjutan dengan permusuhan jika harta mereka dibahagikan dengan betul, suarang diagih sekutu dibelah.

Sudah Arang-Arang, Hendak Minyak Pula

Maksud : Dulu dikeji, sekarang dipuji. Ayat Contoh : Dahulu Shuib sering menghina anak jirannya yang selekeh dan nampak bodoh itu tetapi setelah budak itu berjaya dalam pelajaran dan sering membantunya, kini dia memuji-muji pula, sudah arang-arang, hendak minyak pula.

Sudah Basah Kehujanan

Maksud : Kemalangan yang dialami bertimpa-timpa. Ayat Contoh : Setelah dibuang kerja, Hilal ditinggalkan oleh kekasihnya pula. Dirinya bagai sudah basah kehujanan.

Sudah Berkata Satu

Maksud : Tidak berubah daripada yang telah diucapkan. Ayat Contoh : Suhaimi sudah berkata satu, iaitu tidak bersetuju dengan keputusan abangnya hendak menjual rumah pusaka itu.

Sudah Bertarah, Berdongkol Pula

Maksud : Setelah sesuatu perselisihan diselesaikan, timbul pula perselisihan yang lain. Ayat Contoh : “Perkara yang sudah berlalu itu biarkan berlalu, usah diungkit kembali nanti yang sudah bertarah, berdongkol pula,” nasihat Atira kepada Jun.

Sudah Beruban Baru Berguam

Maksud : Perihal orang tua yang tingkah lakunya seperti orang muda. Ayat Contoh : “Sudah buang tabiat agaknya orang tua itu, semasa mudanya dulu dia seorang yang tenang dan penyabar, sekarang suka mencari gaduh pula, sudah beruban baru berguam,” keluh Mak Senah sendirian.

Sudah Biasa Makan Kerak

Maksud : Sudah biasa mengalami kesukaran hidup. Ayat Contoh : Para pekerja asing yang sudah biasa makan kerak di negara asal menyebabkan mereka sanggup menerima apa-apa sahaja kerja yang diberikan.

Sudah Bongkok Jangan Menyerangguh

Maksud : Jangan dibesar-besarkan sesuatu yang buruk. Ayat Contoh : Kejadian salah laku tidak bermaruah tidak perlulah terlalu dihebahkan oleh media massa kerana kesan negatifnya terhadap remaja lebih banyak berbanding dengan kebaikan, sudah bongkok jangan menyerangguh.