Tak Usah Hinggut, Tak Tercabut

Maksud : Sangat teguh pendirian. Ayat Contoh : Walaupun rasuah yang ditawarkan oleh tauke-tauke itu sangat besar nilainya tetapi tawaran itu tidak mampu mempengaruhi Anwar kerana dia bersikap jujur, tak usah hinggut, tak tercabut.

Takut Akan Bayang-Bayang

Maksud : Takut akan sesuatu yang sebenarnya tidak ada. Ayat Contoh : Orang kaya yang kedekut itu sering takut akan bayang-bayang kerana dia selalu menggambarkan hartanya itu akan dicuri atau diambil orang.

Takut Akan Hantu, Lari Ke Pandam

Maksud : Takut akan rugi atau susah sedikit lalu mendapat kerugian atau kesusahan yang lebih besar. Ayat Contoh : Zakaria mengeluarkan semua wangnya yang disimpan di bank kerana bimbang akan masalah pepijat alaf baru pada akhir tahun 1999 yang lalu, malangnya semua wang itu dicuri ketika disimpan di rumah, takut akan hantu, lari ke pandam.

Takut Hilang Tak Hilang

Maksud : Orang yang takut dan berwaspada tidak mengalami kerugian. Ayat Contoh : Walaupun Awang tinggal di kawasan yang sering berlaku kecurian, namun rumahnya tidak pernah dimasuki pencuri kerana dia sentiasa berjaga-jaga, takut hilang tak hilang.

Takutkan Bayang-Bayang Sendiri

Maksud : Berasa takut kerana perbuatannya yang salah. Ayat Contoh : Selepas menipu syarikat tempat dia bekerja, Samsuri mula gelisah dan tidak senang duduk kerana bimbang jika penipuannya terbongkar. Dia seperti takutkan bayang-bayang sendiri.

Takut Kerana Salah, Berani Kerana Benar

Maksud : Orang bersalah selalu ketakutan, orang benar selalu berani. Ayat Contoh : Meskipun pihak pendakwa mengemukakan pelbagai hujah dakwaan, namun Syahir tetap tenang dan yakin kerana dia tidak melakukan kesalahan seperti yang didakwa, takut kerana salah, berani kerana benar.

Tali Yang Tiga Lembar Itu Tak Suang-Suang Putus

Maksud : Orang yang sekutu atau sebicara dalam sebarang hal itu selalu berjaya dalam pekerjaan; bersatu teguh bercerai roboh. Ayat Contoh : Kejayaan umat Islam pada zaman Rasulullah dan para sahabat menentang puak musyrikin disebabkan mereka bersatu hati dengan menurut perintah Allah dan Rasul-Nya seperti tali yang tiga lembar itu tak suang-suang putus.

Tamak Hilang Malu, Loba Hilang Kebiasaan

Maksud : Perolehan yang tidak mencukupi menyebabkan kerja hina dibuat. Ayat Contoh : Siti tahu bahawa kerjanya sebagai pelayan di kelab malam itu hina di sisi masyarakat tetapi dia membuang segala rasa malu kerana mahu hidup mewah, tamak hilang malu, loba hilang kebiasaan.

Tambah Air, Tambah Sagu

Maksud : Bertambah kerja bertambahlah upahnya. Ayat Contoh : Awang sanggup bekerja di tapak pembinaan itu tanpa mengira minggu atau cuti umum kerana tambah air, tambah sagu.