Sakit Kepala Panjang Rambut, Patah Selera Banyak Makan

Maksud : Pada lahirnya tidak suka padahal sebenarnya suka sekali. Ayat contoh : Syahir menyatakan bahawa dia tidak suka akan Maisarah yang terlalu pendiam itu tetapi sebenarnya dalam diam-diam dia telah menghantar wakil untuk meminang Maisarah untuknya. Dia seperti sakit kepala panjang rambut, patah selera banyak makan.

Sakit Menimpa, Sesal Terlambat

Maksud : Perbuatan terlanjur yang tidak dapat diubah lagi. Ayat contoh : Rahimi telah ditangkap dan didakwa kerana terlibat dengan rasuah, namun penyesalan yang timbul selepas itu sudah tidak berguna lagi kerana sakit menimpa, sesal terlambat.

Salai Tak Berapi

Maksud : Wanita hamil tanpa suami. Ayat contoh : Disebabkan malu kerana salai tak berapi, banyak perempuan yang terlibat mengambil keputusan membuang bayi mereka.

Salangkan Bah Kapar Tak Hanyut, Inikan Pula Kemarau Panjang

Maksud : Sedangkan waktu muda malas, inikan pula waktu tua. Ayat contoh : Encik Saiful berpendapat bahawa Encik Sham tidak patut diambil mengajar semula secara kontrak kerana dia sudah hilang minat terhadap tugas sejak beberapa tahun sebelum bersara lagi. Bak kata orang, salangkan bah kapar tak hanyut, inikan pula kemarau panjang.

Sama Lebur Sama Binasa

Maksud : Orang yang seia dan sekata. Ayat contoh : Hang Tuah lima bersaudara tidak pernah berbantahan dan mereka telah berjanji untuk sentiasa sama lebur sama binasa, terutamanya ketika menentang musuh.

Sama Menjulur Sama Menjalar, Lain Belut Lain Ular

Maksud : Dua orang yang seiras tetapi budi pekerti yang berlainan. Ayat contoh : Rabani dan Awe mempunyai wajah seiras kerana mereka bersepupu tetapi perangai Rabani yang suka berfoya-foya dengan perempuan itu berbeza daripada sepupunya yang suka menghadiri majlis-majlis ilmu. Mereka diibaratkan sama menjulur sama menjalar, lain belut lain ular.

Sama Panjang Dengan Urat Perut

Maksud : Terlalu berbohong. Ayat contoh : Oleh sebab mahu keluar, Atiqah telah memberitahu warden asrama bahawa datuknya meninggal dunia. Cerita itu seperti sama panjang dengan urat perut kerana datuknya masih sihat di kampung.