Sebusuk-Busuk Telunjuk, Telunjuk Juga Pencolek Tahi Mata

Maksud : Sejahat-jahat kaum keluarga tetap akan dibela jika ia dihina orang. Ayat Contoh : Danish tahu bahawa bapanya bukanlah seorang yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keluarga tetapi apabila ada orang menghinanya dia tetap membela bapanya itu kerana sebusuk-busuk telunjuk, telunjuk juga pencolek tahi mata.

Seciap Bak Ayam, Sedencing Bak Besi

Maksud : Seia dan sekata dalam semua pekerjaan. Ayat Contoh : Ketua kampung itu menyatakan rasa bangganya kerana mempunyai anak-anak buah yang seciap bak ayam, sedencing bak besi menyebabkan kampung mereka sentiasa aman dan maju.

Secubit Tidak Dapat Menjadi Segenggam

Maksud : Tidak dapat mengubah nasib yang telah ditentukan. Ayat Contoh : Che Man malas untuk berusaha bagi mengubah nasib keluarganya yang miskin sejak turun-temurun kerana berpegang pada kata-kata secubit tidak dapat menjadi segenggam.

Sedangkan Pucuk Lagi Tak Merah, Konon Pula Selaranya

Maksud : Sedangkan ketika kaya tidak berderma apatah lagi ketika tidak berwang. Ayat Contoh : Semasa perniagaannya maju dulu pun, Zul sangat kedekut untuk bersedekah kepada orang-orang miskin, apatah lagi ketika perniagaannya rugi seperti hari ini, tentulah tidak mungkin dia mahu bersedekah kerana sedangkan pucuk lagi tak merah, konon pula selaranya.

Sedap Bagi Kita Enak Bagi Orang

Maksud : Hidup bermasyarakat hendaklah mengambil kira pandangan masyarakat terhadap perbuatan kita. Ayat Contoh : Sue An tahu bahawa dia hidup berjiran dengan orang-orang Melayu yang sedang menjalani ibadah puasa. Oleh itu, dia sentiasa menghormati mereka dengan tidak makan di khalayak ramai. Dia berpegang kepada sedap bagi kita enak bagi orang.

Sedap Dahulu Pahit Kemudian

Maksud : Melakukan sesuatu dengan tidak difikirkan dahulu baik buruknya yang akhirnya akan menyesal. Ayat Contoh : Ada remaja hari ini hanya memikirkan keseronokan hidup bebas tanpa sekatan, namun setelah terlanjur barulah mereka menyesal tetapi tiada gunanya lagi kerana sedap dahulu pahit kemudian.

Sedap Manis Jangan Ditelan, Pahit Jangan Dimuntahkan

Maksud : Sebarang bicara orang hendaklah ditimbangkan terlebih dahulu sebelum diterima atau ditolak. Ayat Contoh : Memanglah teguran itu menyakitkan hati tetapi lebih berguna daripada pujian kawan-kawan engkau yang liar itu. Kata orang, sedap manis jangan ditelan, pahit jangan dimuntahkan.

Sedepa Tanduk Yang Datang, Sejengkal Tanduk Yang Menanti, Payah Juga Yang Datang

Maksud : Perihal kesukaran berdagang di negeri orang (tidak seuntung anak negeri sendiri). Ayat Contoh : Siraj yang datang dari Afrika mempunyai dua ijazah kedoktoran tetapi apabila memohon pekerjaan di negara ini, dia gagal kerana pihak majikan lebih mengutamakan warganegara sendiri meskipun kelulusannya jauh lebih tinggi, sedepa tanduk yang datang, sejengkal tanduk yang menanti, payah … Read more