Yang Berpayung Yang Ditembak

Maksud : Jikalau anak buah yang bersalah tentulah yang akan dituntut ketuanya; orang yang berkuasalah tempat meminta pertolongan. Contoh Ayat : Apabila Fahmi didapati bersalah mencuri di kampung seberang, ketua kampungnya terpaksa datang untuk membayar ganti rugi, yang berpayung yang ditembak.

Yang Bulat Datang Bergolek, Yang Pipih Datang Melayang

Maksud : Keuntungan atau kemewahan datang daripada pelbagai punca; orang yang bertuah mendapat keuntungan dari mana-mana sahaja. Contoh Ayat : Alangkah bertuahnya anak-anak golongan berada kerana tanpa susah payah dapat menikmati kemewahan yang melimpah-ruah daripada ibu bapa mereka, yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang.

Yang Dahulu Mendapat Yang Kemudian Ketinggalan

Maksud : Pengganti yang sekarang lebih bodoh daripada yang digantikan. Contoh Ayat : Kasihan Encik Nga, selepas dia memecat pengurus akaun dan digantikan dengan pengurus baru, keadaan kewangan syarikatnya semakin parah. Rupa-rupanya yang dahulu mendapat, yang kemudian ketinggalan.

Yang Dijemput Tak Datang, Yang Menjemput Tak Kembali

Maksud : Keuntungan yang dicari tidak dapat sedangkan modal yang sedia ada susut atau tidak kembali sama sekali. Contoh Ayat : Kasihan Aaron, sudahlah perniagaanya tidak menguntungkan malah modal yang dipinjam daripada bank turut hangus, yang dijemput tak datang, yang menjemput tak kembali.

Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran

Maksud : Keuntungan yang diharap tidak didapati dan yang telah ada lesap pula. Contoh Ayat : Fahmi meletakkan jawatan sebagai guru kerana mahu bertanding pilihan raya, malangnya dia tewas dan terpaksa menjadi penggangur, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Yang Disangka Tidak Menjadi, Yang Diam Boleh Ke Dia

Maksud : Orang lain yang berikhtiar orang lain pula yang memungut hasilnya. Ayat Contoh : Sebenarnya Azalina yang bersungguh-sungguh menubuhkan persatuan bekas pelajar sekolah ini, tetapi orang lain yang mendapat hasil dan nama daripada penubuhan tersebut, yang disangka tidak menjadi, yang diam boleh ke dia.