Pulau Sudah Lenyap, Daratan Telah Tenggelam

Maksud: Gagal atau sesuatu yang tidak dapat diharapkan apa-apa lagi. Ayat contoh: Setelah gagal untuk menjatuhkan pengerusi pertubuhan itu, Hadi telah kehilangan semua jawatan termasuk jawatan yang disandangknya. Baginya pulau sudah lenyap, daratan telah tenggelam dan masa depannya dalam pertubuhan itu sudah tiada lagi.

Pungguk Rindukan Bulan

Maksud : Kerinduan yang mendalam tetapi tidak tercapai sampai bila-bila. Ayat contoh : “Usahlah engkau seperti pungguk rindukan bulan dengan memuja dan merindui Aiman lagi kerana dia telah pun berkahwin dengan perempuan lain,” kata ibu kepada Alia.

Punggung Dipukul, Gigi Habis Tanggal

Maksud : Lain yang disindir, lain yang terasa. Ayat contoh : Beberapa orang ahli jawatankuasa kemajuan kampung menyindir penghulu yang makan gaji buta tetapi imam pula yang terasa lalu meletakkan jawatan, punggung dipukul, gigi habis tanggal.

Punggur Rebah Belatuk Menumpang Mati

Maksud : Jika orang yang menjadi pelindung atau penaung jatuh, anak buahnya akan merasai akibatnya. Ayat contoh : Apabila raja negeri itu dibunuh oleh musuh, rakyat di bawah pemerintahannya mula terancam oleh kekejaman musuh itu kerana punggur rebah belatuk menumpang mati.

Puntung Berasap

Maksud : Sesuatu yang mustahil. Ayat contoh : Usaha Mansur melatih kucing untuk memetik kelapa merupakan puntung berasap dan menjadi bahan ketawa kawan-kawannya.

Pusat Jala Pumpunan Ikan

Maksud : Tempat berkumpul atau menjadi pusat bagi pelbagai hal atau urusan seperti pusat pentadbiran atau pemerintahannya. Ayat contoh : Sejak dijadikan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur menjadi pusat jala pumpunan ikan yang terkenal di seluruh dunia.

Putih Apas Dapat Dilihat, Putih Hati Berkeadaan

Maksud : Putih atau lurus hati seseorang itu dapat dilihat pada tingkah lakunya. Ayat contoh : Haji Bakhil yakin bahawa pemuda yang menumpang di suraunya itu seorang yang jujur kerana dia tidak pernah meninggalkan sembahyang serta tutur katanya lemah lembut, putih apas dapat dilihat, putih hati berkeadaan.

Putih Di Luar, Hitam Di Dalam

Maksud : Keadaan lahir baik tetapi hatinya jahat. Ayat contoh: Golongan munafik yang berpura-pura Islam tetapi bertindak menghancurkan agama itu sukar dikesan kerana pada zahirnya mereka nampak beriman tetapi hakikatnya mereka putih di luar, hitam di dalam.

Putih Mata Kerana Memandang

Maksud : Menanggung rindu atau berasa hiba terhadap sesuatu. Ayat contoh : Sulaiman yang baru pulang dari luar negara berasa amat sedih dan kecewa apabila kekasihnya telah dimiliki oleh orang lain. Dia hanya mampu putih mata kerana memandang.

Putih Seperti Kapas Dibusar

Maksud : Sangat putih atau amat bersih. Ayat contoh : Meskipun sudah berumur dan rambut di kepalanya sudah putih seperti kapas dibusar, namun Zulhilmi masih kelihatan segak dan bergaya seperti orang muda kerana dia pandai menjaga kesihatan dan pemakanannya.