Tebu Setuntung Jadi Separak

Maksud : Anak hanya satu tetapi cucunya banyak sekali. Ayat Contoh : Pak Fakhrul hanya ada seorang anak tetapi cucunya berbelas-belas orang, lalu dikatakan tebu setuntung jadi separak.

Tegak Pada Yang Datang

Maksud : Tetap pendirian semasa menghadapi apa-apa jua keadaan. Ayat Contoh : Meskipun suami dan anak kecilnya dicampakkan ke dalam kawah yang sedang bergelegak airnya dan dia sendiri diugut akan dihukum sedemikian, namun Masyitah tetap akan pendiriannya yang mengakui tiada Tuhan melainkan Allah. Dia tetap tegak pada yang datang.

Tegak Sama Tinggi, Duduk Sama Rendah

Maksud : Dua orang yang sama darjatnya. Ayat Contoh : Perkahwinan antara Sultan Mansor Syah yang memerintah empayar Melaka dengan Puteri Hang Li Po dari negara China itu memang sepadan kerana kedua-duanya tegak sama tinggi, duduk sama rendah.

Tegak Sebagai Alif

Maksud : Tegak lurus. Ayat Contoh : “Apakah yang sedang kau fikirkan sehingga dari tadi aku tegak sebagai alif di hadapan ini pun engkau tidak nampak?” tanya Maslan.

Tegak Seroman-Roman, Duduk Serupa-Rupa

Maksud : Rupa bagai orang kaya, sebenarnya tiada harga dalam masyarakat. Ayat Contoh : Tan sering bergaya seperti orang kaya padahal orang-orang yang mengenalinya tahu bahawa semua harta yang digayakan itu milik orang lain. Dia seperti tegak seroman-roman, duduk serupa-rupa.

Tegang Dinanti Kendur, Keras Dinanti Lunak (Lembut)

Maksud : Hendak menyelesaikan perselisihan hendaklah pada waktu kedua-dua pihak reda akan kemarahannya. Ayat Contoh : Biarlah kedua-dua orang sahabat yang bertelingkah itu dapat menenangkan diri dahulu, selepas itu barulah kita boleh usahakan agar mereka berbaik-baik semula kerana tegang dinanti kendur, keras dinanti lunak.

Tegang Tidak Kendur Tidak

Maksud : Perhubungan yang tidak mengikat atau memaksa. Ayat Contoh : “Hubungan antara kamu dengan Jasnita seperti tegang tidak kendur tidak, jadi tidak perlulah engkau berasa cemburu apabila dia keluar dengan pemuda lain,” kata Yani.

Telaga Di Bawah Gunung

Maksud : Perempuan yang banyak mendatangkan keuntungan dan kebahagiaan kepada suaminya. Ayat Contoh : Siti Khadijah merupakan telaga di bawah gunung kepada Nabi Muhammad s.a.w. kerana beliau bukan sahaja berharta tetapi sangat membahagiakan baginda dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Telaga Mencari Timba

Maksud : Perempuan yang mencari lelaki. Ayat Contoh : Aini berasa malu apabila orang-orang kampung menuduh kakaknya telaga mencari timba kerana dia tergila-gila akan anak ketua kampung sehingga sanggup menghambakan dirinya kepada pemuda itu.