Seberat-Berat Kayu Terapung Juga Di Dalam Air

Maksud : Seteguh-teguh pendirian seseorang itu dapat juga dihasut. Ayat Contoh : Pak Mustafa tahu bahawa Mazlan seorang yang kuat iman tetapi dia tetap bimbang akan anaknya itu tidak mampu menangkis kejutan budaya ketika berada di luar negara kerana seberat-berat kayu terapung juga di dalam air.

Sebesar-Besar Gajah Di Rimba, Dapat Juga Ke Tangan Manusia

Maksud : Muslihat dapat mengalahkan kekuatan, kekayaan, atau kemuliaan. Ayat Contoh : Setelah gagal meruntuhkan Kota Troy yang menyembunyikan tenteranya, tentera Yunani telah menghadiahkan kuda kayu kepada pihak Troy, dengan itu mereka berjaya memasuki Kota Troy yang gagal dimasuki oleh mereka sejak sepuluh tahun yang lalu, sebesar-besar gajah di rimba, dapat juga ke tangan manusia.

Sebusuk-Busuk Telunjuk, Telunjuk Juga Pencolek Tahi Mata

Maksud : Sejahat-jahat kaum keluarga tetap akan dibela jika ia dihina orang. Ayat Contoh : Danish tahu bahawa bapanya bukanlah seorang yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keluarga tetapi apabila ada orang menghinanya dia tetap membela bapanya itu kerana sebusuk-busuk telunjuk, telunjuk juga pencolek tahi mata.

Seciap Bak Ayam, Sedencing Bak Besi

Maksud : Seia dan sekata dalam semua pekerjaan. Ayat Contoh : Ketua kampung itu menyatakan rasa bangganya kerana mempunyai anak-anak buah yang seciap bak ayam, sedencing bak besi menyebabkan kampung mereka sentiasa aman dan maju.

Secubit Tidak Dapat Menjadi Segenggam

Maksud : Tidak dapat mengubah nasib yang telah ditentukan. Ayat Contoh : Che Man malas untuk berusaha bagi mengubah nasib keluarganya yang miskin sejak turun-temurun kerana berpegang pada kata-kata secubit tidak dapat menjadi segenggam.

Sedangkan Pucuk Lagi Tak Merah, Konon Pula Selaranya

Maksud : Sedangkan ketika kaya tidak berderma apatah lagi ketika tidak berwang. Ayat Contoh : Semasa perniagaannya maju dulu pun, Zul sangat kedekut untuk bersedekah kepada orang-orang miskin, apatah lagi ketika perniagaannya rugi seperti hari ini, tentulah tidak mungkin dia mahu bersedekah kerana sedangkan pucuk lagi tak merah, konon pula selaranya.

Sedap Bagi Kita Enak Bagi Orang

Maksud : Hidup bermasyarakat hendaklah mengambil kira pandangan masyarakat terhadap perbuatan kita. Ayat Contoh : Sue An tahu bahawa dia hidup berjiran dengan orang-orang Melayu yang sedang menjalani ibadah puasa. Oleh itu, dia sentiasa menghormati mereka dengan tidak makan di khalayak ramai. Dia berpegang kepada sedap bagi kita enak bagi orang.