Sepandai-Pandai Tupai Melompat, Akhirnya Jatuh Ke Tanah Juga

Maksud : Walau sepandai manapun seseorang itu dalam pekerjaannya, ada kalanya dia akan membuat kesilapan atau kesalahan. Ayat Contoh : Sebijak-bijak Botak Chin dalam melakukan jenayah, akhirnya dia berjaya ditangkap dan dihukum gantung sampai mati. Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Sepantun Helang Dengan Ayam, Lambat Laun Disambar Juga

Maksud : Jika sesuatu yang berlawanan berhampiran (lelaki/perempuan), akhirnya terjadi juga sesuatu yang tidak baik. Ayat Contoh : “Pada pendapat saya, asrama lelaki tidak patut dibina berdekatan dengan asrama perempuan kerana sepantun helang dengan ayam, lambat laun disambar juga,” kata Pengetua.

Sepasin Dapat Bersiang

Maksud : Mendapat keuntungan yang tidak disangka-sangka. Ayat Contoh : John bekerja di firma itu sekadar memenuhi masa terluang sahaja tetapi dengan tidak disangka-sangka dia telah ditawarkan jawatan yang tinggi. Itulah yang dikatakan sepasin dapat bersiang.

Seperti Abu Di Atas Tunggul

Maksud : Kedudukan yang tidak teguh. Ayat Contoh : Apabila seorang pegawai yang lebih berwibawa diterima bekerja di syarikat itu untuk menguruskan perniagaan, beberapa orang pegawai lama yang kurang cekap berasa kedudukan mereka seperti abu di atas tunggul.

Seperti Air Basuh Tangan

Maksud : Barang yang mudah diperoleh sebab murah atau kerana sudah biasa. Ayat Contoh : Di tempat kita memang sukar untuk mendapatkan daging unta tetapi di beberapa negara Arab, daging itu seperti air basuh tangan sahaja.

Seperti Alu Dengan Lompang

Maksud : Dua orang yang saling membantu dalam melakukan pekerjaan. Ayat Contoh : Semua orang yakin bahawa projek ternakan kambing biri-biri yang dijalankan oleh Rabani dan Takiudin itu akan berjaya kerana mereka sentiasa saling membantu seperti alu dengan lompang.

Seperti Anai-Anai Makan Kayu

Maksud : Mengerjakan sesuatu pekerjaan dengan tekun dan rajin. Ayat Contoh : Usaha Tukiman menggali parit untuk mengalirkan air sungai ke sawahnya berjaya juga akhirnya kerana dia bekerja seperti anai-anai makan kayu.