Seperti Anjing Berjumpa Pasir

Maksud : Orang yang terlalu suka kerana memperoleh sesuatu yang disukainya. Ayat Contoh : Budak itu seperti anjing berjumpa pasir apabila dihadiahkan sebuah basikal oleh bapanya. Setiap hari, basikal itu ditunggangnya ke sana ke mari.

Seperti Anjing Beroleh Bangkai

Maksud : Orang jahat dan tamak mendapat sesuatu dengan mudahnya. Ayat Contoh : Kegiatan Mat Rudah dalam pengedaran dadah akhirnya telah dapat dikesan oleh pihak polis setelah sekian lama hidupnya mewah seperti anjing beroleh bangkai.

Seperti Anjing Dengan Bayang-Bayang

Maksud : Orang yang tamak dan ingin memiliki harta orang lain tetapi akhirnya hartanya sendiri yang habis. Ayat Contoh : Kim Swee membakar kedainya untuk mendapatkan ganti rugi yang banyak daripada syarikat insurans tetapi dia ditangkap polis dan dihukum kerana cuba menipu. Jadilah dia seperti anjing dengan bayang-bayang.

Seperti Anjing Dengan Kucing

Maksud : Orang yang selalu bertengkar dan bergaduh apabila bersua muka. Ayat Contoh : Walaupun Azad dan Nabil saudara kembar namun mereka berdua seperti anjing dengan kucing kerana mereka pasti bertengkar apabila bertemu.

Seperti Api Dalam Sekam

Maksud : Sesuatu yang berlaku dalam diam-diam atau tanpa disedari. Ayat Contoh : Dollah bertindak seperti api dalam sekam untuk mempengaruhi ahli-ahli koperasi itu agar memilihnya sebagai pengerusi bagi mengalahkan pengerusi yang sedia ada.

Seperti Aur Dengan Tebing

Maksud : Dua orang yang berkawan rapat dan saling membantu. Ayat Contoh : Meskipun berlainan bangsa dan agama namun Nadhir dan Aang dapat berkawan rapat dan saling membantu seperti aur dengan tebing.

Seperti Aur Ditarik Songsang

Maksud : Pekerjaan atau perkara yang sangat sukar diselesaikan kerana salah jalan. Ayat Contoh : Usaha orang tengah untuk mendamaikan dua golongan yang telah berperang itu seperti aur ditarik songsang kerana syarat perundingan yang dicadangkan tidak dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang bertelagah itu.