Seperti Bangau Kasihkan Kerbau

Maksud : Bersahabat kerana ada kepentingan diri sendiri. Ayat Contoh : Johan mendekati Zizan kerana ingin mendapatkan jawatan yang baik di syarikat ayah Zizan. Sikap Musa seperti bangau kasihkan kerbau.

Seperti Bangsi Buluh Perindu

Maksud : Suara yang lemah lembut dan merdu. Ayat Contoh : Suara biduan yang sedang mengalunkan lagu di pentas itu memukau puluhan ribu penonton dengan suaranya yang seperti bangsi buluh perindu.

Seperti Batang Mengkudu, Dahulu Buah Kemudian Bunga

Maksud : Beranggapan bahawa sudah memiliki atau menguasai sesuatu perkara atau barang yang belum tentu dapat dikuasai atau diperoleh. Ayat Contoh : Yohan belum mempunyai apa-apa ikatan dengan Angela tetapi sudah mahu menyekat kebebasan gadis itu. Dia seperti batang mengkudu, dahulu buah kemudian bunga.

Seperti Batu Di Pulau

Maksud : Sangat banyak sehingga tidak terkira. Ayat Contoh : “Usahlah berbangga dengan ijazah yang diperoleh kalau kamu tidak berusaha untuk mencari kerja kerana sekarang pemilik ijazah sarjana muda di negara ini seperti batu di pulau,” kata Melur kepada adiknya.

Seperti Batu Jatuh Ke Lubuk

Maksud : Hilang lenyap. Ayat Contoh : Pelajar-pelajar di sebuah sekolah di Kota Kinabalu yang pernah menjadi murid kepada Cikgu Aina mengatakan bahawa sejak balik bertugas di Kelantan, guru itu seperti batu jatuh ke lubuk kerana tidak pernah menghantar sebarang berita kepada mereka.

Seperti Baung Di Bawah Bangkal

Maksud : Merungut tidak tentu butir katanya. Ayat Contoh : Apabila dimarahi oleh bapanya kerana pulang lambat dari bandar, Aznil masuk ke dalam biliknya sambil merungut seperti baung di bawah bangkal.

Seperti Beliung, Besar Ayun Kecil Makannya

Maksud : Besar cerita daripada perbuatan. Ayat Contoh : Mendengarkan cerita Zahar seolah-olah dia telah berjaya menyiapkan sebuah ladang yang luasnya berpuluh-puluh hektar, tetapi apabila dilihat, ladang yang sudah dibersihkan itu hanya beberapa hektar, seperti beliung, besar ayun kecil makannya.

Seperti Belut Pulang Ke Lumpur

Maksud : Orang yang balik ke tempat asalnya dan payah untuk pergi semula. Ayat Contoh : Setelah tamat pengajian di universiti, Siti Nurhaliza berkhidmat sebagai guru dan mengajar tidak jauh dari kampungnya. Dia seperti belut pulang ke lumpur.

Seperti Benih Baik Di Tanah Subur

Maksud : Berbuat baik kepada orang yang tahu membalasnya. Ayat Contoh : Keluarga itu tidak rugi mengambil Farisha sebagai anak angkat kerana dia seorang yang mudah dididik dan pandai membalas jasa. Sikap Farisha seperti benih baik di tanah subur.