Seperti Beranak Besar Hidung

Maksud : Orang yang gemar memperlihat barangnya yang baru. Ayat Contoh : Dayah dikatakan seperti beranak besar hidung kerana suka menunjuk-nunjuk semua barang kemas atau pakaian yang baru dibelinya.

Seperti Berebut Kelongkong Kelapa

Maksud : Bergaduh kerana makanan atau keuntungan yang sedikit. Ayat Contoh : Para pengunjung yang berkunjung ke rumah terbuka seorang pembesar itu dikatakan seperti berebut kelongkong kelapa kerana merebutkan makanan yang tidak mencukupi.

Seperti Bergantung Di Rambut Sehelai

Maksud : Berada dalam keadaan yang berbahaya. Ayat Contoh : Para pelarian yang berkhemah berdekatan dengan sempadan negara jiran itu seperti bergantung di rambut sehelai kerana kawasan itu banyak tertanam periuk api dan juga kemungkinan akan diserang oleh tentera pengganas yang menceroboh negara mereka.

Seperti Berselimut Kain Sehasta

Maksud : Tidak cukup atau sesuatu pertolongan yang tidak memadai. Ayat Contoh : Sumbangan yang diterima daripada orang ramai kepada adik Husna yang menghidap penyakit leukemia itu seperti berselimut kain sehasta kerana tidak mencukupi untuk membiayai rawatannya di luar negara.

Seperti Bertih Digoreng

Maksud : Bunyi seperti tembakan senapang yang bertalu-talu. Ayat Contoh : Apabila tentera Belanda tiba di Kuala Penyengat dan bertembung dengan pasukan Raja Haji terdengarlah bedilan yang bertalu-talu seperti bertih digoreng.

Seperti Beting Pasir Dipalu Ombak

Maksud : Kehidupan yang tidak tenteram dan sentiasa diganggu orang. Ayat Contoh : Pada masa dahulu, kaum Badwi yang mendiami padang pasir hidup secara berkelompok kerana kehidupan mereka seperti beting pasir dipalu ombak.

Seperti Biang Kucing

Maksud : Berkeluh-kesah. Ayat Contoh : Apabila mendengar berita tentang bas ekspres yang dinaiki oleh anaknya terlibat dalam kemalangan, Kak Sarah menjadi seperti biang kucing.

Seperti Biduk Dikayuh Hilir

Maksud : Mengerjakan pekerjaan yang memang digemari. Ayat Contoh : Apabila Cikgu Aminah ditawarkan untuk menguruskan koperasi sekolah, dia segera menerima kerana urusan jual beli runcit itu memang digemarinya, seperti biduk dikayuh hilir.