Seperti Kapur Di Hujung Telunjuk

Maksud : Perihal seseorang yang tidak dapat melakukan sesuatu pekerjaan atau menolong saudara-mara dalam kesusahan. Ayat Contoh : Umat Islam di seluruh dunia yang prihatin terhadap saudara seagama di Chechnya yang dizalimi oleh tentera-tentera Rusia merasakan diri mereka seperti kapur di hujung telunjuk kerana tidak mampu membantu.

Seperti Katak Kena Sembur

Maksud : Keadaan orang yang terkulat-kulat, tidak bercakap atau menjawab soalan. Ayat Contoh : Ghani kelihatan terkulat-kulat seperti katak kena sembur apabila dimarahi oleh ketuanya kerana tidak datang kerja tanpa sebab dan tidak memaklumkan hal itu terlebih dahulu.

Seperti Kelopak Pandan

Maksud : Keelokan tubuh seorang perempuan. Ayat Contoh : Sesiapa yang terpandang akan Puteri Intan Terpilih akan terpikat kepadanya kerana kecantikan tubuhnya seperti kelopak pandan dan tingkah lakunya yang bersopan santun.

Seperti Kena Pembungkam

Maksud : Terdiam kerana tidak dapat berkata-kata. Ayat Contoh : Erna seperti kena pembungkam kerana sangat terkejut apabila melihat anaknya dilanggar kereta di hadapan matanya sendiri.

Seperti Kera Kena Belacan

Maksud : Tidak boleh duduk diam dan sangat gelisah. Ayat Contoh : “Saya mahu kamu semua duduk di tempat masing-masing dan membuat kerja yang saya suruh, jangan berkeliaran ke sana ke mari seperti kera kena belacan,” kata Cikgu Adelina.

Seperti Kera Mendapat Bunga

Maksud : Orang yang tidak menghargai benda yang bagus. Ayat Contoh : Banyak buku yang mahal dan bermutu di perpustakaan telah diconteng dan dikoyak oleh pelajar-pelajar yang tidak bertanggungjawab. Mereka itu seperti kera mendapat bunga.

Seperti Kera Sumbang

Maksud : Orang yang takut atau tidak gemar mencampuri orang ramai. Ayat Contoh : Zayd dikatakan seperti kera sumbang kerana tidak suka bergaul dengan rakan-rakan sepejabat ataupun jiran-jirannya.