Seperti Si Buta Mendapat Tongkat, Dipukulkan Buta-Tuli

Maksud : Menjadi sombong kerana beroleh kekayaan dan pangkat. Ayat Contoh : “Aku tidak menyangka bahawa Yusri yang dulunya sangat suka menolong orang, menjadi sombong setelah mewarisi harta daripada bapa saudaranya itu. Dia seperti si buta mendapat tongkat, dipukulkan buta-tuli,” kata Salleh kepada Fazrul.

Seperti Si Cebol Hendak Mencapai Bulan

Maksud : Ingin melakukan sesuatu yang tidak mungkin tercapai. Ayat Contoh : “Cita-cita engkau ingin membina mahligai di atas pulau itu seperti si cebol hendak mencapai bulan kerana untuk membina bangsal pun kau tidak mampu,” sindir Mak Mah.

Seperti Si Mandul Baru Beranak

Maksud : Sangat gembira dan kasih akan sesuatu yang baru diperoleh setelah puas berusaha. Ayat Contoh : Setelah sekian lama bekerja dan berhempas-pulas mengumpulkan wang, akhirnya Pak Herman mampu membeli sebuah kereta. Meskipun sudah buruk, namun dijaganya dengan penuh kasih sayang, seperti si mandul baru beranak.

Seperti Sirih Pulang Ke Gagang

Maksud : Orang yang kembali kepada asalnya; kena pada tempatnya. Ayat Contoh : Setelah bertahun-tahun berpisah dan membawa haluan masing-masing, Zaquan dan Aminah telah rujuk kembali, seperti sirih pulang ke gagang.

Seperti Suatu Biji Sesawi Dalam Rumput

Maksud : Orang miskin dan hina tidak dipeduli atau dipandang orang. Ayat Contoh : : “Kita ini seperti suatu biji sesawi dalam rumput, kalau tidak berusaha untuk mencari kekayaan dan meningkatkan diri sendiri tentu tiada sesiapa pun yang sudi memandang kita,” luah Mikael kepada isterinya.

Seperti Sutera Dalam Lukisan

Maksud : Sesuatu yang sudah bagus, beroleh darjat yang bagus pula. Ayat Contoh : Anak raja Tanjong Pura yang hanyut di laut itu telah berkahwin dengan puteri ratu Majapahit dan kini dilantik menjadi ratu bagi menggantikan ayahanda mentua baginda. Nasib baginda seperti sutera dalam lukisan.

Seperti Talam Dua Muka

Maksud : Perihal orang yang berbuat baik kepada dua orang yang berseteru (untuk kepentingan diri sendiri). Ayat Contoh : Suhaila seperti talam dua muka apabila Anggun dan Anggerik bermusuhan.

Seperti Tangkai Jering

Maksud : Orang yang sangat kedekut. Ayat Contoh : Mo Salah terlalu payah untuk berderma bagi membantu fakir miskin. Sifatnya yang seperti tangkai jering ini amat tidak disenangi oleh isterinya.

Seperti Tebu, Airnya Dimakan, Hampasnya Dibuang

Maksud : Setiap perkataan yang keluar dari mulut orang hendaklah dipilih yang baik dan dibuang yang jahat. Ayat Contoh : Ceramah politik bukan semuanya boleh diterima kerana setiap penceramah mempunyai kepentingannya tersendiri. Oleh itu, pilihlah yang baik sahaja untuk diikuti seperti tebu, airnya dimakan, hampasnya dibuang.