Seperti Dicanai Rupanya

Maksud : Perihal keelokan rupa bentuk sesuatu benda. Ayat Contoh : Pelawat-pelawat dari luar negara itu terpesona apabila melihat batu-batu gua di Gunung Reng yang seperti dicanai rupanya.

Seperti Ditempuh Gajah Lalu

Maksud : Kejadian yang besar yang tidak dapat disembunyikan lagi. Ayat Contoh : Cubaan menculik menteri itu tidak dapat disembunyikan lagi kerana peristiwa itu seperti ditempuh gajah lalu.

Seperti Durian Menunjukkan Pangsa

Maksud : Orang yang gemar menunjukkan kebesaran dirinya. Ayat Contoh : Anak bongsu Puan Halimah memang suka berlagak dengan kereta mewahnya, terutamanya kepada kawan-kawan sekolahnya yang tidak berkemampuan. Dia memang seperti durian menunjukkan pangsa.

Seperti Emas Baru Disepuh

Maksud : Peri keelokan seorang perempuan. Ayat Contoh : Wajah Radin Mas Ayu puteri Majapahit yang seperti emas baru disepuh itu telah memikat hati sesiapa sahaja termasuklah Sultan Mansur Syah dari Melaka.

Seperti Gading Dilarik

Maksud : Rupa yang cantik dan bersih. Ayat Contoh : Semua tetamu yang menghadiri majlis itu terpesona oleh kejelitaan anak gadis Encik Aslan yang seperti gading dilarik itu.