Seperti Paruh Dengan Kepak

Maksud : Dua golongan yang berlainan tetapi bekerjasama. Ayat Contoh : Tentera dan kakitangan awam menjalankan tugas yang berbeza tetapi sama-sama berjasa kepada negara seperti paruh dengan kepak.

Seperti Permata Baik Tak Kena Ikatannya

Maksud : Perempuan terpelajar bersuamikan lelaki yang rendah budi pekertinya. Ayat Contoh : Puan Hasnah masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa anaknya, Maria yang berpendidikan tinggi serta berpegang agamanya boleh mendapat suami yang pemabuk dan kaki judi, seperti permata baik tak kena ikatannya.

Seperti Permata Salah Serudi

Maksud : Orang bangsawan yang tidak berilmu dan tidak tahu bersopan santun. Ayat Contoh : “Saya tidak peduli sama ada awak anak raja atau cucu menteri. Kalau berkelakuan seperti permata salah serudi, jangan harap awak akan dihormati,” jerkah Pak Ahmad selaku Penghulu di Kampung Pinang Dua Batang.

Seperti Pikat Kehilangan Mata

Maksud : Bingung atau tidak tentu arah (hilang akal). Ayat Contoh : Apabila mengetahui bahawa anaknya dilarikan oleh pembantu rumahnya, Adawiyah menjadi seperti pikat kehilangan mata kerana tidak tahu akan cara untuk mendapatkan anaknya kembali.

Seperti Pinggan Dengan Mangkuk Salah Sedikit Hendak Berhantuk

Maksud : Perselisihan faham antara suami isteri atau kaum keluarga itu sudah menjadi perkara biasa. Ayat Contoh : “Hidup berumah tangga hendaklah banyak bersabar, seperti pinggan dengan mangkuk salah sedikit hendak berhantuk,” nasihat Mazidah kepada sahabatnya, Maznah yang berkecil hati terhadap sikap suaminya.

Seperti Pipit Menelan Jagung

Maksud : Hendak meniru orang besar-besar dan kaya akhirnya susah sendiri. Ayat Contoh : Zuki yang berpegang pada prinsip biar papa asal bergaya, sering ketakutan kerana diugut oleh pemiutang kerana tidak mampu membayar balik hutangnya. Dia dikatakan seperti pipit menelan jagung.

Seperti Pisau Raut, Bengkok Orang Boleh Dibetulkan, Bengkok Sendiri Tidak Boleh Betul

Maksud : Kesusahan orang dapat diselesaikan tetapi kesusahan sendiri berkehendakkan pertolongan daripada orang lain. Ayat Contoh : Azura sering menjadi tempat kawan-kawannya mengadu masalah, namun masalah rumah tangganya sendiri tidak mampu untuk diselesaikannya. Dirinya seperti pisau raut, bengkok orang boleh dibetulkan, bengkok sendiri tidak boleh betul.

Seperti Pohon Bambu Ditiup Angin

Maksud : Sanggup menderita kesusahan dengan sabar dan apabila kesusahan telah berlalu senanglah hidupnya. Ayat Contoh : Ketika anak-anak masih kecil, kehidupan Mak Cik Mia amat susah tetapi setelah anak-anaknya berjaya dalam bidang masing-masing, penderitaan Mak Cik Mia sudah berlalu. Rentetan hidup Mak Cik Mia seperti pohon bambu ditiup angin.