Seperti Toman Makan Anak

Maksud : Orang yang berbuat sumbang dengan orang yang dikawal atau dijaganya. Ayat Contoh : Orang yang seperti toman makan anak sepatutnya dijatuhi hukuman yang seberat-beratnya supaya tiada lagi orang lain yang akan mengikut jejak langkah sumbang tersebut.

Seperti Tulis Di Atas Air

Maksud : Nasihat yang baik itu tidaklah berguna kepada orang yang memang jahat. Ayat Contoh : Ustaz Kamarul tidak jemu-jemu menasihati anak saudaranya itu agar meninggalkan kerja mencuri itu tetapi tidak pernah diendahkan. Nasihat itu seperti tulis di atas air sahaja.

Seperti Ular Kena Palu

Maksud : Bengkang-bengkok tidak beraturan; menggeliang-geliut kerana terlalu marah. Ayat Contoh : Walaupun jalan menuju ke Taman Kinabalu bengkang-bengkok seperti ular kena palu tetapi pemandangan di sekitarnya sungguh menyenangkan.

Seperti Ulat Lupakan Daun

Maksud : Melupakan kebaikan orang kepadanya. Ayat Contoh : Khairulamin dikatakan seperti ulat lupakan daun kerana setelah mendapat kerja yang bergaji besar dia tidak lagi pulang ke kampung untuk mengunjungi bapa saudara yang pernah memeliharanya.

Seperti Upih Jatuh

Maksud : Yang tua mati dulu daripada yang muda. Ayat Contoh : “Mengikut adat, orang tua seperti atuk akan pergi dulu seperti upih jatuh. Oleh itu, kamu semua yang masih muda inilah yang akan mengambil alih kerja-kerja di sawah dan di kebun itu,” pesan Tok Dalang kepada cucu-cucunya.

Sepesan Anak-Beranak, Anaknya Beranak Pula

Maksud : Membiak dengan cepat. Ayat Contoh : Penduduk di negara miskin yang kecil itu berkembang biak seperti sepesan anak-beranak, anaknya beranak pula kerana dalam masa beberapa tahun sahaja jumlah penduduknya meningkat berjuta-juta orang.