Siapa Yang Mengaku Berak Di Tengah Jalan?

Maksud : Sesiapa pun tidak akan mengakui perbuatan jahat yang telah dilakukannya walaupun telah diketahui orang. Ayat Contoh : Haidar bermati-matian tidak mengaku bahawa dialah yang telah mencuri basikal Sany kerana siapa yang mengaku berak di tengah jalan?

Siapa Menjala, Siapa Terjun

Maksud : Sesiapa yang inginkan sesuatu, dialah yang harus berusaha. Ayat Contoh : “Kamu yang mahu berjaya dalam peperiksaan, jadi kamulah yang patut belajar dengan bersungguh-sungguh, jangan mengharapkan guru sahaja yang memberikan segala-galanya, siapa menjala, siapa terjun,” tegur Mak Zah kepada anaknya.

Siapa Pun Menjadi Raja Tanganku Ke Dahi Juga

Maksud : Sesiapa pun yang menjadi raja dihormati juga. Ayat Contoh : Sebagai rakyat di sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, saya akan tetap taat dan menghormati sesiapa sahaja yang dipilih menjadi pemimpin. Bak kata pepatah, siapa pun menjadi raja tanganku ke dahi juga.

Siar Bakar Berpuntung Suluh

Maksud : Sesuatu perkara itu boleh diputuskan setelah cukup buktinya. Ayat Contoh : Kita harus mengambil keputusan, sama ada untuk menggantung keahlian atau memecat terus keahlian Fayhsal kerana segala bukti kesalahannya sudah jelas, siar bakar berpuntung suluh.

Si Bodoh Hendak Melepaskan Jerat Di Kaki Akhirnya Terjerat Leher

Maksud : Jika tidak pandai melepaskan diri daripada bahaya yang kecil maka mungkin terlibat pula dalam bahaya yang lebih besar. Ayat Contoh : Samsuri ingin melepaskan dirinya daripada tuduhan mencuri dengan mengemukakan suatu alasan yang tanpa disedari telah memerangkap dirinya sendiri sehingga dikaitkan dengan satu kes pembunuhan. Begitulah kalau si bodoh hendak melepaskan jerat di … Read more

Si Bodoh Makanan Si Cerdik

Maksud : Orang bodoh akan diperguna oleh orang yang cerdik untuk kepentingannya. Ayat Contoh : Pak Hadi menyerahkan beberapa relung tanah sawah kepada adik iparnya yang mahu menjadi sidang kerana pada masa itu sesiapa yang ingin menjadi seorang sidang perlu banyak harta, akhirnya adik iparnya kaya-raya dan dia pula terpaksa mengambil upah di tanahnya sendiri. … Read more

Si Bongsu Pengindang Antah

Maksud : Semuanya harus bekerja kerana miskin; tidak dapat dimanjakan. Ayat Contoh : Anak-anak Pak Cik Afdlin yang masih kecil terpaksa berhenti sekolah untuk membantu ibu bapa mereka bekerja kerana cengkaman kemiskinan, si bongsu pengindang antah.

Si Buta Membilang Bintang Di Langit

Maksud : Perbuatan yang sia-sia. Ayat Contoh : Guan Ong tidak memahami bahasa Perancis tetapi ditugaskan oleh syarikat akhbarnya untuk membuat laporan tentang persidangan yang menggunakan bahasa itu. Dia seperti si buta membilang bintang di langit.

Si Cebol Hendak Mencapai Bulan

Maksud : Menginginkan sesuatu yang mustahil tercapai. Ayat Contoh : Amani sering berangan-angan untuk melancong ke Switzerland sambil bermain luncur salji di sana tetapi impiannya itu si cebol hendak mencapai bulan kerana untuk ke Kuala Lumpur pun dia tidak berduit..