Tatkala Lagi Rebung Tiada Dipatah, Ketika Sudah Jadi Aur Apa Gunanya

Maksud : Mengajar seseorang itu hendaklah ketika ia masih muda, kalau sudah besar tidak akan berhasil lagi. Ayat Contoh : Ketika masih kanak-kanak, ibu bapanya tidak pernah menegur tingkah laku Zakuan yang nakal. Setelah meningkat remaja barulah hendak dimarahi tetapi tiada gunanya lagi kerana tatkala lagi rebung tiada dipatah, ketika sudah jadi aur apa gunanya.

Tebal Kulit Muka

Maksud : Menahan malu. Ayat Contoh : Senah terpaksa tebal kulit muka untuk berhutang beras di kedai itu kerana ketiadaan wang setelah suaminya sakit dan sudah lama tidak bekerja.

Tebas Buluh Serumpun

Maksud : Merosakkan seluruh keluarga kerana perbuatan yang tidak baik. Ayat Contoh : Oleh sebab terlalu marah kepada pemuda yang menipunya, Panglima Galak telah tebas buluh serumpun.

Tebu Seruas Berulat Pula

Maksud : Anak hanya seorang tetapi buruk pula perangainya. Ayat Contoh : Dengan wajah sedih, Pak Munawe memberitahu kami bahawa anaknya yang diberi penuh kasih sayang itu sedang ditahan di pusat pemulihan dadah. Katanya, tebu seruas berulat pula.

Tebu Setuntung Jadi Separak

Maksud : Anak hanya satu tetapi cucunya banyak sekali. Ayat Contoh : Pak Fakhrul hanya ada seorang anak tetapi cucunya berbelas-belas orang, lalu dikatakan tebu setuntung jadi separak.

Tegak Pada Yang Datang

Maksud : Tetap pendirian semasa menghadapi apa-apa jua keadaan. Ayat Contoh : Meskipun suami dan anak kecilnya dicampakkan ke dalam kawah yang sedang bergelegak airnya dan dia sendiri diugut akan dihukum sedemikian, namun Masyitah tetap akan pendiriannya yang mengakui tiada Tuhan melainkan Allah. Dia tetap tegak pada yang datang.

Tegak Sama Tinggi, Duduk Sama Rendah

Maksud : Dua orang yang sama darjatnya. Ayat Contoh : Perkahwinan antara Sultan Mansor Syah yang memerintah empayar Melaka dengan Puteri Hang Li Po dari negara China itu memang sepadan kerana kedua-duanya tegak sama tinggi, duduk sama rendah.

Tegak Sebagai Alif

Maksud : Tegak lurus. Ayat Contoh : “Apakah yang sedang kau fikirkan sehingga dari tadi aku tegak sebagai alif di hadapan ini pun engkau tidak nampak?” tanya Maslan.

Tegak Seroman-Roman, Duduk Serupa-Rupa

Maksud : Rupa bagai orang kaya, sebenarnya tiada harga dalam masyarakat. Ayat Contoh : Tan sering bergaya seperti orang kaya padahal orang-orang yang mengenalinya tahu bahawa semua harta yang digayakan itu milik orang lain. Dia seperti tegak seroman-roman, duduk serupa-rupa.