Terlayang-Layang Bagai Bulu Sehelai

Maksud : Orang memandang ringan lantaran miskin, hina, atau anak dagang. Ayat Contoh : Kesusahan yang ditanggung Izzah anak-beranak tidak dipedulikan oleh orang-orang kampung kerana mereka merempat dan bukan berasal dari kampung tersebut. Hiduplah mereka terlayang-layang bagai bulu sehelai.

Terlekat Kersik Ke Buluh

Maksud : Melakukan sesuatu yang sia-sia atau tidak mungkin dapat dilakukan. Ayat Contoh : Amin membina kolam ikan di suatu lembah sungai yang sering ditenggelami banjir. Usahanya bagai terlekat kersik ke buluh kerana ikan-ikan akan terlepas apabila air sungai melimpah.

Terlepas Dari Mulut Buaya Masuk Ke Mulut Harimau

Maksud : Terlepas daripada satu bahaya atau ketakutan, ditimpa pula bahaya atau ketakutan yang lain. Ayat Contoh : Setelah tentera Jepun yang kejam itu keluar dari Tanah Melayu, penduduk Tanah Melayu dianiaya pula oleh Bintang Tiga. Keadaan ini samalah kata pepatah, terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut harimau.

Terlintang Oleh Sanggul

Maksud : Suami yang selalu mengikut kata isterinya. Ayat Contoh : Mat Awang dikatakan terlintang oleh sanggul kerana tidak berani untuk membuat keputusan sendiri dalam apa-apa urusan yang berkaitan dengan keluarganya kerana isterinya yang akan memberi kata putus.

Terloncat-Loncat Bagai Ulat Pinang

Maksud : Sangat gelisah atau resah; orang yang tidak boleh duduk diam. Ayat Contoh : Saban hari terdengar akan guru-guru merungut tentang pelajar yang suka membuat bising serta terloncat-loncat bagai ulat pinang di dalam kelas apabila guru tiada.

Termakan Di Sadah

Maksud : Kesal hati kerana tertipu. Ayat Contoh : Azman termakan di sadah kerana membeli tanah paya yang tidak berguna itu dengan harga yang mahal.

Ternak Bergembala Parak Berpagar

Maksud : Harta benda harus dijaga, lebih-lebih lagi anak gadis. Ayat Contoh : Pada zaman yang mencabar ini tiada cara yang paling baik untuk mengawal anak-anak gadis kecuali dengan memberi ajaran agama yang cukup kerana ternak bergembala parak berpagar.

Ternanti-Nanti Bagai Berlakikan Raja

Maksud : Berhajatkan orang yang tidak hendak kepadanya. Ayat Contoh : Sarah dikatakan ternanti-nanti bagai berlalikan raja kerana tergila-gila akan Salman yang sudah pun bahagia bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya.