Terpasang Jerat Halus

Maksud : Dikenakan tipu muslihat. Ayat Contoh : Remaja-remaja itu terpikat oleh iklan jawatan pemandu pelancong kerana gaji dan pelbagai kemudahan yang menarik. Rupa-rupanya mereka telah terpasang jerat halus dan terjebak dalam aktiviti pelacuran.

Terpaut Bertali, Tertambang Berlantak

Maksud : Terikat oleh adat kerana adat itu boleh dilunasi atau diisi. Ayat Contoh : Segala peraturan dan adat sejak zaman-berzaman perlu dipatuhi oleh setiap orang Melayu agar kata-kata “tak Melayu hilang di dunia” benar-benar bermakna, terpaut bertali, tertambang berlantak.

Terpegang Di Abu Hangat

Maksud : Kecewa dalam cita-cita atau pekerjaan; mencampuri sesuatu yang menyusahkan sahaja. Ayat Contoh : Bidang Bimbingan dan Kaunseling sangat saya minati tetapi sejak menjawat jawatan kaunselor sekolah, terlalu banyak kerenah pihak atasan yang terpaksa dihadapi sehingga dirasakan jawatan itu seperti terpegang di abu hangat sahaja.

Terpijak Bara Hangat

Maksud : Sangat gelisah kerana sesuatu perkara. Ayat Contoh : Zawawi terpijak bara hangat apabila diberitahu bahawa rumahnya akan dirobohkan kerana kawasan itu akan dijadikan tapak perindustrian.

Terpijak Benang Arang, Hitam Tapak

Maksud : Berbuat jahat, jahatlah balasannya. Ayat Contoh : Jeneral Zuning yang telah membunuh dan bertindak kejam terhadap jutaan rakyat Kemboja akhirnya mati dalam keadaan penuh kehinaan. Begitulah kalau terpijak benang arang, hitam tapak.

Tersabung Akan Induk Ayam

Maksud : Jangkaan yang tidak tepat menyebabkan rasa kecewa. Ayat Contoh : Dominic melaburkan wang yang banyak kerana menyangka bahawa syarikat itu kukuh, malangnya syarikat itu telah bankrap dan pelaburannya hilang begitu sahaja. Dia seperti tersabung akan induk ayam.

Terseberang Pada Air Besar

Maksud : Terselamat atau terpelihara daripada bahaya besar. Ayat Contoh : Apabila Melaka membuat hubungan persahabatan dengan China, Siam tidak berani lagi mengganggu dan negeri itu pun terseberang pada air besar.

Tersesak Padang Ke Rimba

Maksud : Habis ikhtiar sehingga tiada upaya lagi. Ayat Contoh : Alias telah tersesak padang ke rimba kerana tidak mampu memulihkan perniagaannya yang muflis itu setelah semua hartanya tergadai.