Tertanam Di Biji Hampa

Maksud : Usaha yang sia-sia. Ayat Contoh : Pak Munir telah menghabiskan wang yang banyak untuk memulihkan anaknya yang ketagihan dadah, namun usaha itu bagai tertanam di biji hampa kerana anaknya itu telah kembali menagih.

Tertangkap Basah

Maksud : Tertangkap ketika sedang beraksi dalam kejahatan. Ayat Contoh : Mat Azahari tertangkap basah oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Agama ketika sedang berdua-duaan dengan seorang janda di sebuah rumah kosong.

Tertangkap Di Ikan Kalang

Maksud : Berlawan atau bersaing dengan orang yang lebih berani. Ayat Contoh : Encik Hamzah seorang yang miskin dan tidak berpengaruh tetapi telah berjaya mengalahkan Encik Idris yang banyak kenalan daripada kerabat diraja ketika berebut untuk mendapatkan tender memajak Pulau Antah. Dia dikatakan tertangkap di ikan kalang.

Tertawa Dengan Perkabungan

Maksud : Ahli waris yang bersenang hati dalam masa perkabungan kerana mendapat harta pusaka. Ayat Contoh : Baru seminggu Datuk Huzir dikebumikan tetapi anak-anaknya sudah tertawa dengan perkabungan kerana dapat mewarisi harta peninggalan ayah mereka.

Tertimbun Dikais, Terbenam Diselam

Maksud : Menolong orang yang kesusahan; memeriksa sesuatu dengan teliti. Ayat Contoh : Kalau Mahathir mahu melanjutkan pelajaran ke universiti, Pak Tua akan berusaha dengan sedaya upaya mencari wang untuk segala perbelanjaan, tertimbun dikais, terbenam diselam.

Tertimpa Tulah Marhum Ayahnya

Maksud : Susah kerana perbuatan orang tua sendiri. Ayat Contoh : Jamaludin yang miskin itu terpaksa menjual semua hartanya untuk membayar hutang arwah bapanya yang suka berjudi itu. Dia tertimpa tulah marhum ayahnya.

Tertumbuk Biduk Dikelokkan, Tertumbuk Kata Difikiri

Maksud : Kalau menemui jalan buntu atau kesukaran dalam sesuatu perundingan, hendaklah berusaha untuk mengatasinya. Ayat Contoh : Apabila rundingan antara India dengan Pakistan tentang isu Kashmir menemui jalan buntu, kedua-dua negara itu patut berusaha untuk mengatasi masalah tersebut, tertumbuk biduk dikelokkan, tertumbuk kata difikiri.

Tertumpang Di Biduk Hilir

Maksud : Pekerjaan atau rundingan yang lekas selesai atau lancar. Ayat Contoh : Pembinaan masjid di kampung itu tertumpang di biduk hilir apabila mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan.