Tertumpang Di Biduk Tiris

Maksud : Ikut serta dalam usaha yang merugikan atau mengikut jalan yang salah. Ayat Contoh : Fandi dikatakan tertumpang di biduk tiris kerana tinggal serumah dengan pengedar dadah. Apabila rumah itu diserbu dia turut tertangkap.

Terung Buah Bergantung, Lobak Buah Berlindung

Maksud : Ada orang yang menunjukkan kekayaan dan ada pula yang menyembunyikannya. Ayat Contoh : Ramli sering memberitahu kawan-kawannya tentang harta kekayaan miliknya tetapi Salman, iaitu adiknya tidak pernah menceritakan harta miliknya, terung buah bergantung, lobak buah berlindung.

Tiada Akan Rintang Kerbau Oleh Tanduknya

Maksud : Orang yang cekap tidak akan terganggu oleh rintangan dalam mengerjakan sesuatu. Ayat Contoh : Semua rintangan berjaya ditempuh oleh para peserta ekspedisi kenderaan pacuan empat roda yang merentas Borneo kerana mereka sudah terlatih dan berpengalaman, tiada akan rintang kerbau oleh tanduknya.

Tiada Berbau Telunjuk Saya

Maksud : Menyatakan tidak percaya kepada sesuatu cerita atau khabar. Ayat Contoh : Yahya mengatakan bahawa tiada berbau telunjuk saya kerana cerita tentang makhluk asing mendarat di bumi tidak masuk akal.

Tiada Berbulu Lagi

Maksud : Tidak berharta atau apa-apa kelebihan. Ayat Contoh : Semenjak usahanya untuk memulihkan perniagaan yang rugi itu gagal, Zafrul sudah tiada berbulu lagi dan terpaksa menumpang hasil pendapatan isterinya.

Tiada Berluluk Mengambil Cekerau

Maksud : Mengambil untung dengan tidak perlu bersusah payah. Ayat Contoh : Para pelabur saham amanah itu tiada berluluk mengambil cekerau kerana mereka hanya perlu menunggu dividen pada setiap tahun yang semakin meningkat.

Tiada Berorang Di Air

Maksud : Perempuan yang belum bersuami tetapi telah rosak. Ayat Contoh : Sekembalinya daripada perantauan dengan wang yang cukup untuk persediaan perkahwinannya, Zaid berasa sangat kecewa apabila mengetahui tunangnya itu sudah tiada berorang di air.

Tiada Biduk Karam Sebelah

Maksud : Apabila seseorang mendapat kesusahan, tentu kaum keluarganya turut merasai dan ikut menolong. Ayat Contoh : Apabila Che Hanum terlantar sakit, kaum keluarganya akan turut merasai penderitaan keluarga itu dan memberi pertolongan mengikut kemampuan masing-masing. Bagi mereka tiada biduk karam sebelah.

Tiada Buruk Yang Tak Elok

Maksud : Tiada perselisihan yang tidak dapat diselesaikan. Ayat Contoh : Saya yakin bahawa perbalahan antara Zakiah dengan Halimah tidak akan berpanjangan kerana tiada buruk yang tak elok.