Pipi Pauh Dilayang

Maksud : Pipi yang licin dan bentuknya seperti pauh atau mempelam. Ayat contoh : Lihatlah betapa cantiknya gadis itu, muka bujur telur, kulit putih kuning, dan pipi pauh dilayang.

Pipit Hendak Menjadi Enggang

Maksud : Ingin melakukan sesuatu yang melebihi kesanggupan. Ayat contoh : Kerani itu didakwa kerana pecah amanah wang syarikat akibat mahu memenuhi kehendak teman wanitanya yang mahukan kemewahan. Begitulah kalau pipit hendak menjadi enggang.

Pipit Meminang Anak Enggang

Maksud : Orang miskin meminang anak orang kaya atau berkuasa. Ayat contoh : Aziz bagai pipit meminang anak enggang apabila dia cuba memikat dan kemudiannya melamar anak Datuk Rahul. Walau bagaimanapun, pinangannya ditolak kerana perbezaan status itu.

Pipit Menelan Jagung

Maksud : Orang miskin berlagak kaya akhirnya mendapat kesusahan. Ayat contoh : Rumah besar yang dibina terbengkalai, kereta mewah yang dibeli ditarik balik, dan Zamani dibebani hutang. Begitulah nasib Zamani kalau pipit menelan jagung.

Pipit Sama Pipit, Enggang Sama Enggang

Maksud : Darjat yang berkelas-kelas, kecil sama kecil, besar sama besar. Ayat contoh : Tuhan sudah menentukan manusia terdiri daripada berbilang bangsa, keturunan, dan darjat, maka pilihlah orang yang setaraf untuk dijadikan pasangan. Bak kata pepatah, pipit sama pipit, enggang sama enggang.

Pisang Ditanam Tak Berjantung

Maksud : Usaha yang tidak memberikan hasil yang dimaksudkan. Ayat contoh : Bin Laden berhabisan wang dan tenaga untuk membina kedai makan di simpang itu. Namun, usahanya ibarat pisang ditanam tak berjantung kerana kedai itu tidak dikunjungi orang kerana kedudukannya bersebelahan dengan loji rawatan kumbahan.

Pisang Masak Separak

Maksud : Suatu keluarga yang hidup bahagia. Ayat contoh : Keluarga yang pisang masak separak akan melahirkan generasi yang baik dan boleh menjauhkan mereka daripada gejala-gejala yang tidak sihat.