Pisang Sesikat Digulai Sebelanga, Tanda Muafakat Bersama-Sama

Maksud : Sahabat atau keluarga yang setia atau sentiasa bertolong-tolongan. Ayat contoh : Van Dijk yang menjadi anak angkat dalam sebuah keluarga Melayu di kampung pedalaman itu menyatakan bahawa dia sungguh bertuah dapat hidup dalam suatu masyarakat kampung yang bekerjasama seperti pisang sesikat digulai sebelanga, tanda muafakat bersama-sama.

Pisang Tak Akan Berbuah Dua Kali

Maksud : Sekali tertipu atau kerugian tentu akan berjaga-jaga pada masa akan datang. Ayat contoh : Setelah juruwangnya melarikan sejumlah wang di pasar mininya itu, Suraya amat berhati-hati ketika memilih pekerja baru. Dia berharap agar pisang tak akan berbuah dua kali.

Pisau Bongkok Melukakan Sarungnya

Maksud : Mengkhianati orang yang melindunginya. Ayat contoh : Pak Kordi memelihara bayi yang ditemukannya di tepi rumpun buluh itu seperti anaknya sendiri tetapi setelah dewasa, anak itu menipu ibu bapa angkatnya untuk mendapatkan harta. Dia dikatakan seperti pisau bongkok melukakan sarungnya.

Pisau Tidak Berbaja Makin Dikikir Bertambah Tumpul

Maksud : Orang yang tidak berilmu makin kaya makin sombong. Ayat contoh : Siti Sadariah yang diambil menjadi anak angkat dan diberi kemewahan oleh orang kaya itu telah menjadi sombong dan tidak mengenal kawan-kawan sepermainannya lagi. Dia seperti pisau tidak berbaja makin dikikir bertambah tumpul.

Pitis Habis Keinginan Tiba

Maksud : Kemahuan datang setelah jatuh miskin. Ayat contoh : Setelah wang hasil jualan tanah pusaka itu habis dibelanjakan, barulah Mat Topek teringat untuk membaiki rumahnya yang telah buruk. Walau bagaimanapun, keinginannya itu tidak dapat dicapai lagi kerana pitis habis keinginan tiba.

Pohon Yang Besar Juga Yang Dinaiki Sakat

Maksud : Orang yang kaya juga yang bertambah kekayaannya. Ayat contoh : Para pedagang yang berniaga di Melaka sentiasa memberikan hadiah yang mahal dan berharga kepada raja serta para pembesar menyebabkan pohon yang besar juga yang dinaiki sakat.

Potong Hidung Rosak Muka

Maksud : Orang yang berlaku kurang baik terhadap keluarganya, diri sendiri yang akan mendapat malu. Ayat contoh : Halimah memburuk-burukkan abangnya sendiri dengan pelbagai tuduhan yang mengaibkan, perbuatannya itu samalah dengan potong hidung rosak muka.

Pucuk Dicita Ulam Mendatang

Maksud : Memperoleh sesuatu lebih daripada yang diharapkan. Ayat contoh : Bagai pucuk dicita ulam mendatang apabila Rahimi yang berkenan pada Zainab telah diminta oleh bapa gadis itu supaya masuk meminang.

Pucuk Layu Disiram Hujan

Maksud : Setelah menderita barulah mendapat kesenangan. Ayat contoh : Setelah sekian lama berhabisan harta benda dan membanting tenaga untuk menyara dan menyekolahkan anak-anaknya, Pak Musa dan isterinya seperti pucuk layu disiram hujan setelah anak-anak mereka sudah bekerja.