Roda Yang Berpaling, Kuda Sudah Digirindin

Maksud : Kelihatan sahaja senang hidupnya, tetapi sebenarnya susah. Ayat contoh : Wartawan itu memberitahu kami bahawa banyak artis yang kelihatan bergaya dan hidup mewah tetapi sebenarnya mereka seperti roda yang berpaling, kuda sudah digirindin.

Rosak Tapai Kerana Ragi

Maksud : Pekerjaan yang dibuat dengan tidak hati-hati akan menyebabkan kerosakan atau kegagalan. Contoh Ayat : Sebagai akibat pihak pemaju tidak menanam cerucuk dengan sempurna, bangunan yang didirikan di atas bekas lombong itu retak sebelum dapat disiapkan lagi. Begitulah rosak tapai kerana ragi.

Rumah Gadang Perabung Upih

Maksud : Orang berbangsa tetapi miskin. Ayat contoh : Tengku Yaakob merupakan kerabat diraja tetapi dia terpaksa menjual tanah pusaka dan barang-barang antik di rumahnya untuk menyara hidup pada hari tuanya. Itulah yang dikatakan rumah gadang perabung upih.

Rumah Gedang Bersendi Perak

Maksud : Orang bangsawan dan kaya pula. Ayat contoh : Sharsham dan adik-adiknya bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga bangsawan yang mempunyai harta yang banyak pula, rumah gedang bersendi perak.

Rumah Mana Yang Tidak Bersampah

Maksud : Tiada sesuatu yang tiada cacat celanya. Ayat contoh : “Kalau mencari orang sempurna dari pelbagai segi untuk menjadi setiausaha engkau, sampai bila-bila pun engkau terpaksa bekerja sendirian kerana rumah mana yang tidak bersampah,” kata Syafiq kepada rakan baiknya.

Rumah Sudah, Pahat Berbunyi

Maksud: Mengemukakan pendapat atau kritikan sesudah perkara diputuskan. Ayat contoh : Setelah rang undang-undang itu diluluskan menjadi akta, maka banyak pihak memberi pelbagai ulasan dan teguran tentang perkara itu bagai rumah sudah, pahat berbunyi.

Rumah Sudah, Tukul Dibunuh (Buang)

Maksud : Hukuman yang telah diputuskan tidak dapat diganggu lagi. Ayat contoh : Apabila mahkamah rayuan menolak permohonan pembunuh itu untuk meringankan hukuman gantung sampai mati terhadapnya, maka kekallah hukuman tersebut tanpa dapat diubah lagi seperti rumah sudah, tukul dibunuh.

Rumah Terbakar Tikus Habis Keluar

Maksud : Apabila negara ditimpa bencana, penduduk daripada negara asing pun keluar meninggalkannya. Ayat contoh : Ketika Taiwan dilanda gempa bumi yang dahsyat pada akhir abad ke-20, penduduk asing yang terdiri daripada pekerja, pelajar, atau pelawat keluar beramai-ramai meninggalkan negara itu. Bak kata orang, rumah terbakar tikus habis keluar.

Rumah Tinggal Sarang Hantu, Rumah Bujang Sarang Fitnah

Maksud : Orang yang tinggal sendirian menjadi tumpuan percakapan. Ayat contoh : Zunita memberitahuku bahawa dia sering menjadi perhatian dan dijadikan bahan umpatan orang walaupun dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Begitulah kalau rumah tinggal sarang hantu, rumah bujang sarang fitnah.