Semut Mati Di Gula

Maksud : Manusia tertipu oleh pujuk rayu. Ayat Contoh : Disebabkan terlalu mengikut kata isteri mudanya yang cantik itu, Syed menukarkan hak milik semua tanahnya kepada isterinya itu. Selepas itu, dia ditinggalkan. Begitulah semut mati di gula.

Senduk Besar Tak Mengenyangkan

Maksud : Janji sahaja yang banyak dibuat tetapi tidak ditepati. Ayat Contoh : Usahlah menabur pelbagai janji kepada kami yang miskin ini kalau sekadar di bibir sahaja. Kata orang, senduk besar tak mengenyangkan.

Senduk Dan Periuk Lagi Berhantuk

Maksud : Suami isteri atau keluarga ada kalanya berselisih juga. Ayat Contoh : Tidak usah dibesar-besarkan pertengkaran antara saudara sepupu itu kerana perselisihan kecil itu tidak akan membawa kepada pergaduhan besar kerana senduk dan periuk lagi berhantuk.

Senjata Makan Tuan

Maksud : Senjata yang digunakan untuk mengenakan orang lain tetapi mengenai diri sendiri. Ayat Contoh : Banyak senjata canggih dan peluru berpandu dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Iraq ketika negara itu berperang dengan Iran, namun ketika Perang Teluk, senjata tersebut digunakan untuk menentang Amerika Syarikat dan sekutunya pula. Itulah yang dikatakan senjata makan tuan.

Seorang Cecak, Semuanya Berasa Pedih

Maksud : Seorang berbuat salah tetapi seluruh keluarganya akan berasa malu. Ayat Contoh : Akibat perangai Khadir yang suka berjudi dan menyabung ayam, orang-orang kampung memandang serong terhadap seluruh keluarganya. Benarlah kata orang, seorang cecak, semuanya berasa pedih.

Sepala-Pala Mandi Biar Basah

Maksud : Jika hendak melakukan sesuatu, biarlah betul-betul siap. Ayat Contoh : “Kalau kau mahu memajukan tanah terbiar itu dengan ternakan ikan air tawar, buatlah sampai mendapat hasil, jangan dibiarkan kolam itu kosong tidak berisi, sepala-pala mandi biar basah,” kata Mak Leha kepada anaknya.

Sepandai-Pandai Bungkus, Yang Busuk Berbau Juga

Maksud : Perbuatan yang salah itu walaupun dirahsiakan lambat laun akan diketahui juga. Ayat Contoh : Sekian lama Awang Janggut merahsiakan pembunuhan yang pernah dilakukannya, akhirnya rahsia itu terbongkar apabila seorang jirannya terjumpa akan beberapa dokumen pengenalan si mati di dalam tanah di bawah rumahnya. Begitulah kata orang, sepandai-pandai bungkus, yang busuk berbau juga.

Sepandai-Pandai Mencencang, Landasan Juga Yang Habis

Maksud : Walaupun banyak pertolongan yang diterima, namun orang yang membuat kenduri tetap menanggung kerugian. Ayat Contoh : Walaupun Rokiyah dan Edwan banyak menerima bantuan daripada saudara mara ketika mengahwinkan anak sulung mereka, namun banyak juga wang mereka terpaksa dikeluarkan untuk itu, sepandai-pandai mencencang, landasan juga yang habis.