Semak-Semak Disiangi, Rimbun-Rimbun Ditutuh

Maksud : Sesuatu benda hendaklah dijaga dan dipelihara dengan baik. Ayat Contoh : Raja itu berpesan kepada putera yang bakal menduduki takhta kerajaan agar menjaga negeri dan rakyat dengan baik seperti semak-semak disiangi, rimbun-rimbun ditutuh.

Semanis-Manis Gula Ada Pasir Di Dalamnya

Maksud : Kata-kata yang manis itu biasanya mengandungi tipu muslihat. Ayat Contoh : Neelofa sentiasa berfikir panjang sebelum menelan kata-kata manis dan pujian yang dihamburkan oleh lelaki kepadanya kerana dia tahu bahawa semanis-manis gula ada pasir di dalamnya.

Sembahyang Diberi Waktu, Janji Diberi Berketika

Maksud : Sesuatu pekerjaan hendaklah ditetapkan waktunya supaya selamat dan sempurna. Ayat Contoh : Pihak pemaju diberi tempoh yang cukup untuk menyiapkan sesuatu projek supaya pembangunan untuk rakyat dan negara dapat berjalan dengan lancar. Kata orang, sembahyang diberi waktu, janji diberi berketika.

Sembahyang Mencari Akal, Rukuk Mencari Kira-Kira

Maksud : Orang yang rupanya soleh tetapi hatinya cabul dan suka mengerjakan perkara-perkara yang terlarang. Ayat Contoh : Rezal dikatakan sembahyang mencari akal, rukuk mencari kira-kira kerana dia menggunakan ilmu agamanya untuk menipu orang-orang kampung itu yang kebanyakannya buta agama.

Sembunyi-Sembunyi Puyuh

Maksud : Menutup perbuatan jahat yang telah diketahui orang. Ayat Contoh : Syalini sembunyi-sembunyi puyuh kerana semua orang tahu bahawa dialah yang menyebabkan Adawiyah dan Siti berbalah. Walau bagaimanapun, dia masih berlagak sebagai pendamai.

Sembunyi-Sembunyi Puyuh Kepala Tersorok Ekor Kelihatan

Maksud : Orang yang berbuat jahat dan menyangka bahawa perbuatannya itu tidak diketahui orang. Ayat Contoh : Usahlah sembunyi-sembunyi puyuh kepala tersorok ekor kelihatan dengan berlagak baik kerana kegiatan engkau mengedar ubat batuk kepada penagih-penagih itu sudah diketahui oleh pihak polis.

Semut Dipijak Tidak Mati, Gajah Dilarung Bergelimpangan

Maksud : Perihal jalanan seseorang perempuan yang baik lagi teratur (tidak terlalu cepat tidak terlalu lambat) tetapi terlalu keras tutur bahasanya. Ayat Contoh : Raja perempuan itu dikatakan semut dipijak tidak mati, gajah dilarung bergelimpangan kerana dia sangat baik dengan hamba rakyat tetapi keras terhadap musuhnya.