Selama Enggang Mengeram

Maksud : Masa yang lama sekali. Ayat Contoh : Salman memang lambat menaip, kalau disuruh dia menyiapkan kertas kerja, semua orang akan bosan dan tertunggu-tunggu kerana kerjanya itu selama enggang mengeram.

Selama Hayat Dikandung Badan

Maksud : Selama masih hidup. Ayat Contoh : Selama hayat dikandung badan insan yang beriman akan sentiasa mencurahkan bakti untuk sesama manusia dan tidak mengabaikan tanggungjawabnya mengabdikan diri kepada Allah.

Selamanya Air Hilir, Selamanya Gagak Hitam

Maksud : Tetap serupa untuk selama-lamanya, tidak mungkin akan berubah. Ayat Contoh : Usaha engkau untuk mengubah sikap orang-orang yang kolot itu agar menerima kemajuan tidak akan berjaya kerana selamanya air hilir, selamanya gagak hitam.

Selangkah Berpantang Surut, Setapak Berpantang Mundur

Maksud : Sikap yang berani dan keras hati akan membuahkan kejayaan. Ayat Contoh : Setiap usaha yang dilakukan oleh Meng Yun jarang-jarang tidak berjaya kerana dia seorang yang tabah dan berani menghadapi sebarang halangan. Kata orang, selangkah berpantang surut, setapak berpantang mundur.

Selembap-Lembap Puntung Di Dapur, Ditiup Menyala Juga

Maksud : Sesuatu pekerjaan itu jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan berhasil juga. Ayat Contoh : Dengan kesungguhan beberapa orang guru dari luar, akhirnya masyarakat pedalaman yang kolot itu mahu juga menerima kemajuan. Benarlah kata orang, selembap-lembap puntung di dapur, ditiup menyala juga.

Selompat Hidup Selompat Mati

Maksud : Perihal orang yang hampir maut, entah hidup atau mati. Ayat Contoh : Keadaan pesakit buah pinggang yang sedang dirawat di unit rawatan rapi itu umpama selompat hidup selompat mati.

Seluas Dada Tuma

Maksud : Terlalu sempit. Ayat Contoh : “Rumah yang seluas dada tuma ini tidak dapat menampung keluarga mak cik yang banyak ini,” kata Mak Cik Minah kepada pegawai itu.

Seludang Menolak Mayang

Maksud : Memegah-megahkan kelebihan yang ada pada diri. Ayat Contoh : Rossa begitu bangga mempunyai anak gadis yang cantik dan dia menggalakkan anaknya itu agar menjadi penyanyi dengan harapan namanya akan turut terkenal di samping nama anaknya itu. Dia dikatakan seludang menolak mayang.

Semahal-Mahal Gading Kalau Patah Tiada Berharga

Maksud : Berapapun tingginya darjat orang itu, sekali dia berbuat jahat akan turunlah darjatnya, tidak dipedulikan lagi. Ayat Contoh : Presiden yang digulingkan oleh rakyatnya kerana memerintah dengan zalim itu terpaksa hidup dalam buangan serta tidak dipedulikan oleh sesiapa pun lagi kerana semahal-mahal gading kalau patah tiada berharga.