Seperti Kucing Di Atas Tampuk

Maksud : Perihal orang yang mempunyai dua tugas dan tidak tahu akan tugas yang mana harus diberikan perhatian. Ayat Contoh : Kakitangan awam tidak dibenarkan menjalankan perniagaan sendiri kerana pihak kerajaan bimbang mereka akan menjadi seperti kucing di atas tampuk dan seterusnya mengabaikan tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan.

Seperti Kucing Kehilangan Anak

Maksud : Sangat gelisah dan tidak tentu arah. Ayat Contoh : Marina menjadi seperti kucing kehilangan anak apabila anak-anaknya yang pergi berkelah di air terjun itu belum pulang walaupun hari sudah menjelang senja.

Seperti Kucing Menyembunyikan Kuku, Terlihat Panggang Berubahlah Laku

Maksud : Orang jahat yang berpura-pura baik sementara belum bertemu dengan barang yang disukainya. Ayat Contoh : Rafique nampak baik dan boleh dipercayai ketika menguruskan surau itu tetapi pantang ada orang tertinggal wang atau barang berharga di surau tersebut, dia akan mengambil untuk dirinya. Dia seperti kucing menyembunyikan kuku, terlihat panggang berubahlah laku.

Seperti Kuda Kencing Di Papan

Maksud : Percakapan yang tidak tentu hujung pangkalnya. Ayat Contoh : Orang tua yang bercakap seperti kuda kencing di papan itu tidak dipedulikan oleh orang-orang di pasar kerana mereka menganggapnya tidak siuman.

Seperti Kura-Kura Terlentang

Maksud : Orang sakit yang terbaring dan tidak berdaya. Ayat Contoh : Sejak tulang belakangnya remuk dalam kemalangan jalan raya dulu, Sabri seperti kura-kura terlentang. Dia hanya boleh bergerak dengan bantuan orang lain.

Seperti Labah-Labah Cinta Kepada Telurnya

Maksud : Kasih sayang atau cinta yang mendalam sekali. Ayat Contoh : Walaupun terpaksa menanggung pelbagai kepayahan, namun ibu-ibu yang menjadi pelarian itu tetap membawa anak-anak mereka untuk meninggalkan kawasan peperangan. Begitulah kasihnya ibu seperti labah-labah cinta kepada telurnya.

Seperti Labu Dibenam

Maksud : Sangat bongkak atau sombong. Ayat Contoh : Memang sukar untuk berbincang dengan orang yang seperti labu dibenam. Apa-apa sahaja cadangan orang dia enggan menerima kerana menganggap ideanya sahaja yang baik.