Seperti Lalat Buta

Maksud : Berpusing-pusing tidak tentu arah, bingung, atau hilang akal. Ayat Contoh : Budak-budak yang sesat di hutan itu berjalan seperti lalat buta kerana tanpa disedari, mereka telah melalui tempat yang sama berulang kali.

Seperti Limau Masak Seulas

Maksud : Mempunyai kelebihan daripada orang lain. Ayat Contoh : Meskipun sama-sama guru siswazah, Cikgu Zulaikha dikatakan seperti limau masak seulas kerana sentiasa mendahului rakan-rakannya dalam penggunaan pelbagai teknologi pendidikan dalam pengajarannya.

Seperti Lintah Menghisap Darah

Maksud : Mengenakan faedah pinjaman yang terlalu mahal; menipu dengan cara yang lemah lembut. Ayat Contoh : Ceti-ceti asing itu meminjamkan wang yang banyak kepada petani yang sangat memerlukan wang. Setelah tidak mampu membayar hutang dan bunganya yang telah berganda, tanah sawah milik petani itu dirampas. Tindakan ceti itu seperti lintah menghisap darah.

Seperti Lipas Kudung

Maksud : Selalu bergerak dengan cepat atau pantas bekerja. Ayat Contoh : Afiqah dapat menyiapkan semua tugas yang diserahkan tepat pada masanya kerana dia bekerja seperti lipas kudung.

Seperti Mayat Ditegakkan

Maksud : Kurus kering serta sangat pucat. Ayat Contoh : Pak Hasyim yang terlantar sakit kelihatan amat tidak bermaya dengan badannya kurus kering serta wajahnya pucat lesi. Dia seperti mayat ditegakkan.